NGO bantu saudara baru keturunan India

ASLANI M | .

GUA MUSANG: Persatuan Ehsan Saudara Baru Berketurunan India Negeri Selangor (Saubaki) memain peranan membela nasib saudara kita yang baru menganut Islam.

Sehingga kini seramai 600 saudara kita dalam kalangan kaum India bernaung di bawah NGO terbabit. Saubaki mempunyai pejabat di Kota Kemuning, Seksyen 31, Shah Alam Selangor.

Pengerusinya, Harun Abdullah berkata persatuan itu diwujudkan tiga tahun lepas membantu Majlis Agama Islam Negeri-Negeri memastikan kehidupan saudara kita yang baru menganut Islam lebih terbela.

“Majlis Agama Islam dan Perkim menyediakan kelas-kelas pengajian agama kepada saudara kita yang baru menganut Islam.

“Saubaki pula memain peranan dari aspek lain termasuk ekonomi dan kemasyarakatan bagi membantu saudara kita mampu berdikari dan tidak tersisih daripada masyarakat,” katanya di sini.

Saubaki juga berperanan membantu kalangan armalah, anak-anak yatim dan saudara kita yang miskin.

Selain itu memberi bimbingan kaunseling, motivasi, menziarahi rumah-rumah saudara kita, program menjana ekonomi dan menyediakan kemudahan pemeriksaan kesihatan percuma.

“Kami juga akan mengadakan ijtimak peringkat kebangsaan di Selangor pada 28 November hadapan yang akan menghimpun saudara kita dari seluruh negara.

“Pada program itu kami akan berkongsi pengalaman detik awal menganut Islam dengan peserta yang hadir,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 31/7/2015

Share on Myspace