Ulama, aset penting PAS – Brig Jen (B) Najmi

IZWAN ABDUL HALIM | .

BALING: PAS mesti dijaga dan dipertahankan dengan tidak membiarkan ia sewenang-wenangnya dicabar pihak tertentu hingga merosakkan nilai sejarah dan jasanya selama lebih 60 tahun kepada umat negara ini, demikian seru Timbalan Pesuruhjaya II PAS Negeri Kedah, Brig Gen (B) Dato’ Ustaz Najmi Ahmad.

“Bukan satu masa yang ringkas dan pendek di mana kalau kita abaikan dan tidak memberi nafas kepadanya, sedangkan ia sudah berjasa 60 tahun. Dia nak sampai 60 tahun ini terpaksa melalui berbagai ujian. Jadi kalau kita tidak mempertahankannya, tidak bersama menjaganya bererti suatu yang tidak cerdik kepada kita kalau kita biarkan berlalu dalam keadaan dicabar dan sebagainya.

“Bahawa masa sejarah itu cukup penting yang ada di dalam PAS ini kalau nak dibandingkan dengan pengalaman baru dalam pergolakan timbul suatu pergerakan baru nak dibandingkan dengan induk tu sendiri,” ujarnya.

Kedua katanya, PAS berkembang dengan ilmu apabila bertapak dan bangkit daripada pengorbanan para ulama di pondok-pondok.

Khususnya di Kedah ujar beliau, kekuatan PAS berasaskan dari pondok-pondok sebagai benteng yang cukup penting kepada PAS.

Hal itu katanya, menyempurnakan kalimah al-Quran iaitu “Hanyasanya mereka yang takut kepada Allah adalah dari kalangan ulama” yakni golongan ini hanya terdapat di dalam PAS dan tidak pada parti lain.

“Inilah aset yang cukup penting yang cukup bermakna dan kita mestilah menyuburkan ini, kita jangan kuburkan aset ini.

“Ketiga, PAS mempunyai sejarah yang cukup bermakna iaitu kita pernah mengorbankan para syuhada. Kita masih teringat saudara Othman Talib, korban pertama dalam Pilihan Raya Kecil di Padang Terap.

“Maknanya sampai begitu parti kita ini jemaah kita ini telah memberi korban. Juga Ustaz Ibrahim dan teman-temannya dan itu adalah antara korban-korban yang telah kita anugerahkan kepada PAS ini,” ujarnya membangkitkan semangat.

Susur galur itu katanya, mesti difahami dan PAS tidak boleh disamakan dengan pertubuhan yang baru lahir dan tidak harus nilai serta sejarah itu dibuang begitu sahaja.

Serunya, seluruh ahli dan pimpinan PAS mesti satukan fikrah dan tindakan serta mengukuhkan benteng menghadapi sebarang cabaran kerana ujian ditempuh anggota PAS masih kecil berbanding perjuangan Islam seperti Ikhwanul Muslimin di Mesir.

“Mereka anugerahkan ribuan para syuhada, tetapi kita tak sampai lagi 50 orang. Oleh itu yang sedikit itu menjadi nilai yang cukup besar kepada kita dalam konteks kita di Malaysia ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 31/7/2015

Share on Myspace