Islam tegah aktiviti ancam alam sekitar

| .

KOTA BHARU: Kelantan negeri memberi sokongan kepada sebarang usaha untuk menjadikan Kelantan sebagai kawasan selamat, selesa diduduki dan menarik dikunjungi.

Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yaakob berkata aktiviti mengancam dan memusnahkan kehidupan alam dilarang sama sekali dalam Islam.

Katanya adalah menjadi kewajipan semua pihak mengelak daripada sebarang kegiatan sehingga mendatangkan masalah terhadap alam sekitar.

“Ia termasuk pencemaran dan penebangan hutan tidak terancang yang mengakibatkan hilangnya keseimbangan alam sekitar,” katanya ketika merasmikan Persidangan Tahunan Geosains Kebangsaan 2015 di sebuah hotel di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Naib Censelor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Abdul Aziz Abd Latif dan Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Datuk Yunus Abdul Razak.

Hadir sama Timbalan Presiden Persatuan Geologi Malaysia Abdul Rasyid Jaafar dan Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Sanusi Othman.

Persidangan bertema ‘Geosains Untuk Manfaat Umum dan Pembangunan Nasional’ dianjur bersama Persatuan Geologi Malaysia Negeri Kelantan, UMK dan PMBK.

Menteri Besar juga berkata golongan profesional dan akademik perlu memain peranan secara berterusan bagi menasihatkan kerajaan dalam melaksanakan program pembangunan.

“Ahli geologi terutamanya dari Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Kelantan banyak membantu bagi memastikan aktiviti perlombongan dan kuari yang dijalankan di negeri ini mengikut peraturan ditetapkan,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 31/7/2015

Share on Myspace