Kita pasti tersenyum puas setelah kemelut beredar

SITI ZAILAH MOHD YUSOFF | .

Semoga kita semua berada dalam keadaan yang tenang dan sejahtera menghadapi pelbagai kemelut yang diduga dan yang tak diduga sama ada yang mampu kita bersama selesaikan atau yang di luar kemampuan kita.

Ia berlaku serentak dan merebak kian parah dalam semua aspek kehidupan bermula dari sosial, ekonomi, kini ke aras tertinggi pentadbiran dan politik negeri dan negara.

Kita penuh yakin sebagai orang Islam bahawa sIrah Islam terbukti menyediakan ruang dan pelbagai penyelesaian untuk mengatasi masalah seumpama ini.

Sebagai sebuah parti Islam yang berteraskan dakwah dan siasah yang telah lama berada di bumi Malaysia, kita telah melalui pelbagai kemelut dengan penuh sabar dan hikmah.

Justeru itu, kami Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan (DMPNK) berdiri teguh di belakang kepimpinan presiden, Tuan Guru Haji Abdul Hadi untuk mengadun formula politik dan pendekatan dakwah yang terkini dalam menghadapi isu kepimpinan negara dan parti yang kritikal seperti ini.

Kita yakin berkat kesatuan aqidah, ilmu yang banyak, pengalaman kepimpinan dan gandingan input di dalam kepimpinan PAS, PAS akan mengemudi rakyat bergerak keluar menurut lunas agama dan demokrasi secara berhati-hati sesuai dengan komposisi penduduk dan biah keadaan dalam negara.

Kendatipun adakala birokrasi arahan dan tugasan yang diarahkan barangkali kelihatan dan didakwa janggal di mata orang lain ia tetap amanah yang perlu kita penuhi ketika ini.

Ini adalah bezanya kita yang ditarbiah untuk tetap mendukung taklif dan tugas melainkan dalam hal yang melanggar syariat.

Adalah sesuatu yang biasa bilamana tindakan dan pandangan politik setiap parti politik adalah berbeza dari yang lain kerana ia akan dinilai dari sudut pandang yang lain sifatnya mengikut dasar dan kepentingannya.

Keberkesanan setiap strategi sama ada pro atau kontra akan terbukti dan dianalisa setelah krisis berlalu.

Pengalaman Nabi Musa a.s bermusafir dengan Nabi Khaidir a.s dan para sahabat Nabi Muhammad s.a.w dalam pelbagai peristiwa di Madinah harus dijadikan iktibar dan panduan saat ini.

DMPNK terus beristiqamah atas keyakinan itu bahawa pada kali ini kita juga insya Allah akan berjaya mengikut kaedah dan neraca pertimbangan kita yang tersendiri.

Kepimpinan kita telah membuat alternatif baru di luar kotak pemikiran kita kerana setiap krisis pasti membuahkan hasil yang lebih baik.

Apa yang paling penting sebagai pendukung perjuangan Islam pada saat seperti ini ialah sokongan kepercayaan, doa dan kesabaran seluruh ahli dan meneruskan tugas dakwah dan siasah harian di semua peringkat. Siap sedia untuk patuh kepada arahan dan mengambil maklumat dari sumber yang sah dalam menghadapi pelbagai kemungkinan dan kesan sampingan krisis yang telah dan sedang berlaku kini.

Kelantan sebagai negeri yang ditadbir oleh PAS, maka kewajipan utama kita mempertahankan dan menjaga negeri dan rakyat negeri ini sebaik mungkin.

Tugas ini lebih aula dan perlu ditekankan kerana tiada kemajuan dapat dikecapi melainkan kita bermuafakat dan berukhuwwah sebagai sebuah jamaah dan saling bantu membantu dalam menjalankan khidmat kepada rakyat demi Islam mencari keredhaan Allah swt.

Maka setiap ahli harus berusaha menjadi tiang dan tongkat yang menguatkan PAS bukan yang menumbangkannya.

Insya Allah satu hari nanti kita pasti akan tersenyum puas setelah kemelut ini beredar berkat kesabaran dan kesetiaan kita pada jamaah.

ISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN

SITI ZAILAH MOHD YUSOFF
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan
Ahli Parlimen Rantau Panjang

Share on Myspace