Peranan DHPP lebih besar selepas putus dengan DAP

HARAKAHDAILY | .

KUALA KRAU: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) akan memainkan peranan lebih penting dalam menarik sokongan bukan Islam selepas PAS memutuskan hubungan dengan DAP.

Justeru, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, parti akan merangka program untuk memperkasakan DHPP agar dapat berperanan lebih besar dari masa-masa yang lepas.

Menurutnya, walaupun ada dalam kalangan masyarakat bukan Islam yang dilaporkan tidak berpuas hati dengan PAS tetapi kebanyakannya melibatkan golongan politik daripada DAP, MCA dan Gerakan.

"Ada suara bukan Islam yang tak puas hati dengan PAS tapi masih ramai mereka yang sokong PAS, orang biasa masih sokong PAS," ujarnya ketika menjawab pertanyaan peserta pada sesi Dialog Bersama Pimpinan sempena Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS Peringkat Negeri Pahang di Kompleks Al-Makmur, Kerdau dekat sini petang ini.

Turut menjadi ahli panel ialah Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasruddin Hassan. Lebih 1,500 ahli PAS seluruh negeri menyertai program yang pertama kali diadakan di kompleks yang masih dalam pembinaan itu.

Kata Moh Amar, mereka masih menghormati PAS sebagai parti yang berprinsip dan tegas.

"Di Kelantan, secara mata kasar dan penilaian umum, sokongan mereka kepada PAS masih kekal," ujarnya yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Bahkan, kata beliau terdapat dalam kalangan masyarakat bukan Islam yang tidak berpuas hati dengan sikap yang ditunjukkan oleh DAP dalam hubungannya dengan PAS.

Sehubungan itu, jelasnya peranan DHPP menjadi lebih besar bukan sahaja untuk menarik sokongan bukan Islam tetapi untuk mengajak mereka bersama PAS. - HARAKAHDAILY 1/8/2015

Share on Myspace