MH370: Wakil Malaysia, Perancis mesyuarat Isnin ini

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Satu mesyuarat akan diadakan di Paris, Perancis Isnin ini, di antara wakil kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa Perancis bagi membincangkan mengenai proses pengesahan 'flaperon' yang ditemui di Pulau Reunion baru-baru ini, kata Datuk Ab Aziz Kaprawi hari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan itu berkata, delegasi itu akan diketuai oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman, wakil pasukan penyiasat kerajaan Malaysia dan wakil Malaysia Airlines (MAS).

"Oleh kerana flaperon itu dijumpai di Pulau Reunion, maka sebarang proses pengesahan perlu melalui segala protokol dan prosedur yang ditetapkan kerajaan Perancis kerana ia sekarang berada di bawah jagaan mereka.

"Selepas mesyuarat, baru kita akan dapat perkembangan bagaimana untuk mengesahkan sama ada flaperon itu adalah sebahagian daripada pesawat MH370 yang hilang ataupun tidak," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai di sini, hari ini.

Buat masa ini, Azharuddin sudah berada di Toulouse, Perancis untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai flaperon itu manakala pasukan penyiasat Malaysia sedang dalam perjalanan ke Pulau Reunion untuk membuat siasatan lanjut.

Ditanya sama ada fokus pencarian kapal terbang yang hilang itu akan berubah berdasarkan petunjuk terkini, Ab Aziz berkata, setakat ini perkara itu masih belum dibincangkan.

Sementara itu di MERSING, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata badan kehakiman Perancis akan melakukan siasatan terperinci berhubung serpihan pesawat itu.

Hishammuddin berkata beliau dimaklumkan rakan sejawatannya dari Perancis, Jean-Yves Le Drian bahawa serpihan berkenaan dihantar ke sebuah makmal di DGA Technique Aeronautique di Balma, timur Toulouse, Perancis.

"Saya menerima panggilan telefon daripada Le Drian malam semalam berhubung perkara itu, badan kehakiman Perancis kemudian meminta Kementerian Pertahanan Perancis untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Mersing hari ini.

Beliau berkata Le Drian juga akan berkunjung ke Malaysia pada hujung bulan ini dan mereka dijangka akan membincangkan mengenai siasatan tersebut.

Penerbangan MH370 hilang daripada radar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal pada 8 Mac tahun lepas. - Bernama

Share on Myspace