1MDB: Apakah anggota Pasukan Petugas Khas ditahan?

HARAKAHDAILY | .

PAS menuntut kerajaan menjelaskan penahanan ke atas Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Sazilee Abdul Khairy, bekas penasihat SPRM Tan Sri Rashpal Singh dan pegawai bahagian Anti-Penggubalan Wang Haram Jabatan Peguam Negara Jessica Kaur.

Apa mereka sebahagian daripada anggota siasatan Pasukan Petugas Khas 1MDB?

Mereka adalah antara tiga yang ditahan, sejajar dengan senarai yang dinamakan blog misteri “therecounter” yang muncul selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Gani Patail dipecat daripada jawatan masing-masing. Bagaimana kerajaan ataupun polis mempunyai kaitan dengan blog misteri berkenaan?

Apakah Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan Timbalannya Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus turut akan ditahan?

Apakah ada kaitan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dinamakan daripada senarai tersebut dan keputusannya memilih untuk berdiam diri dalam isu 1MDB selepas Tan Sri Muhyiddin dibuang sebagai Timbalan Perdana Menteri?

Saya sekali lagi menggesa Tan Sri Zeti untuk jangan melengahkan lagi keputusan untuk mendedahkan semua pegawai yang bertugas di bawah Pasukan Petugas Khas 1MDB.

Pendedahan ini penting agar siasatan ini perlu diteruskan tanpa gangguan dan tanpa elemen menakut-nakutkan seperti penahanan misteri yang sedang dilakukan.

PAS tidak menolak kemungkinan rancangan untuk menghentikan segala siasatan terhadap 1MDB sudah bermula.

Malah, kemungkinan skop siasatan kini sudah berubah daripada menyiasat salah laku 1MDB kepada siapa yang mendedahkan maklumat mengenai 1MDB dengan dakwaan cubaan menimbulkan dan mengganggu-gugat demokrasi berparlimen di negara ini.

Rakyat berhak menuntut jawapan dan berhimpun. Tidak patut kerajaan mengulangi tindakan menakut-nakutkan rakyat dengan penahanan berleluasa seperti Operasi Lalang, seperti yang berlaku di ibu kota hari ini. Ia hanya akan menambah kemarahan dan kebencian rakyat di zaman internet ini.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
1 Ogos 2015

Share on Myspace