Jangan ganggu SPRM siasat isu 1MDB

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PKR memandang serius tangkapan yang dibuat Polis Diraja Malaysia hari ini terhadap seorang bekas penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta seorang pegawai Jabatan Peguam Negara.

"Siri tangkapan ini kelihatan seperti satu amaran berbaur ugutan kepada SPRM, yang merupakan salah satu agensi kerajaan yang terlibat di dalam pasukan siasatan khas terhadap isu skandal kewangan 1MDB," kata presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, kesemua agensi kerajaan yang terlibat di dalam siasatan terhadap 1MDB wajib diberi ruang dan peluang sepenuhnya untuk melaksanakan siasatan tersebut.

Tambahnya, agensi-agensi itu tidak patut diganggu, dan sebarang penukaran petugas atau tangkapan seperti yang berlaku hari ini hanya menimbulkan syak wasangka dan keraguan tentang kebebasan jawatankuasa tersebut untuk melakukan siasatan.

Pada masa yang sama, beliau menggesa Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional yang masih sayangkan negara kita untuk mendengar suara rakyat yang mendahagakan kebenaran.

"Janganlah berdiam diri di dalam isu 1MDB ini. Janganlah takut, kerana rakyat pasti akan bersama kita di dalam menegakkan kebenaran," ujarnya yang juga Ketua Pembangkang. - HARAKAHDAILY 1/8/2015

Share on Myspace