GHB: Pendirian PAS Kuala T'ganu terhadap Raja Baharin

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS Kuala Terengganu tidak lagi menggabungkan diri, bekerjasama, memberi apa-apa jua bantuan atau kemudahan kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah.

Demikian antara kandungan surat yang dikeluarkan oleh Setiausaha PAS Kawasan Kuala Terengganu, Mohd Soud Mat Ali, hari ini kepada semua ahli PAS kawasan itu berhubung pendirian PAS kawasan terhadap Raja Kamarul Baharin.

Berikut adalah kandungan surat berkenaan.

Sebagaimana yang dimaklumi bahawa YBM Raja Dato' Kamarul Bahrin Shah (Ahli Parlimen Kuala Terengganu) telah diisytiharkan secara rasmi sebagai Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) negeri Terengganu sepertimana yang telah diumumkan dalam himpunan GHB pada 31.7.2015 di Jerteh Besut dan beliau telah memperakui menerimanya.

Sehubungan dengan itu PAS Kawasan Kuala Terengganu yang bermesyuarat pada 1.8.2015 berpegang kepada perkeliling isu GHB yang dikeluarkan oleh PAS Pusat bertarikh 29.7.2015 rujukan: PAS/PA/2.01/15-17(8) antaranya tidak lagi menggabungkan diri, bekerjasama, memberi apa-apa jua bantuan atau kemudahan kepada YBM Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Kerjasama dan perhatian dalam mematuhi arahan ini amatlah diharapkan.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS kawasan, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah ketika dihubungi memberitahu mesyuarat tersebut diadakan di markas tarbiah PAS kawasan, Kuala Ibai jam 9.30 malam tadi. - HARAKAHDAILY 2/8/2015

Share on Myspace