1MDB: 5 sebab perlu diadakan sidang khas parlimen

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ini adalah masa yang terbaik bagi Perdana Menteri untuk memanggil persidangan khas Dewan Rakyat untuk merungkai pelbagai kemelut skandal 1MDB pasca penstrukturan kabinet kerajaan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan menyenarakan lima justifikasi untuk memanggil sidang khas tersebut.

- Ia adalah selaras dengan peruntukan Perkara 11 (3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang memberikan kuasa khas kepada Perdana Menteri dengan hanya memaklumkan kepada Tuan Yang Dipertua untuk memanggil mesyuarat khas sebelum jadual rutin yang ditetapkan. Mesyuarat ketiga penggal ketiga akan diadakan pada 19 Oktober 2015.

- Isu skandal kewangan 1MDB memenuhi kriteria yang mengharuskan sidang khas diadakan iaitu ia adalah perkara yang mustahak dan melibatkan kepentingan orang ramai (rakyat). Ini dapat dilihat apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dilucutkan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas beliau mempertikaikan isu 1MDB ini. Ia bukan hanya melibatkan sebuah syarikat sahaja malah merangkumi kepentingan rakyat dan keyakinan terhadap kerajaan.

- Kenyataan Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara selepas dilantik menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri bahawa prosiding siasatan 1MDB terpaksa ditangguhkan sehingga pengerusi baharu dilantik pada sidang Dewan Rakyat akan datang. Ia menyebabkan kes ini tergantung dan terbiar kepada spekulasi yang berpanjangan.

- Laporan interim skandal 1MDB telah disiapkan oleh Jabatan Audit Negara. Rakyat tidak dibenarkan untuk mendapatkan maklumat tersebut melainkan ia telah dibahaskan di peringkat Dewan Rakyat. Maka, sidang khas ini perlu disegerakan bagi membolehkan orang awam membuat penilaian dengan adil dan rasional.

- Tekanan persepsi awam yang negatif terhadap pasukan penyiasat khas skandal kewangan 1MDB selepas perlucutan jawatan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara dan juga anggota penting pasukan penyiasat tersebut. Kini, kredibiliti Gabenor Bank Negara juga sudah mula dipertikaikan oleh pelbagai pihak sehingga pasukan penyiasat khas ini tidak lagi dilihat kompeten untuk meneruskan penyiasatan kes ini.

"Maka, PAS melihat lima justifikasi tersebut sudah cukup mewajarkan sidang khas Dewan Rakyat diadakan bagi menyelesaikan kemelut ini," kata Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Menurut beliau, ia hanya memerlukan political will daripada Perdana Menteri.

"Manfaatkanlah sebaik-baik ruang yang diberikan ini bagi menjawab segala dakwaan yang telah dikemukakan sama ada dari dalam Barisan Nasional atau pun dari luar sendiri," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 3/8/2015

Share on Myspace