Betul cara, ikan belida boleh dipancing

A KADIR JASIN | .

PEMBAHAS RD – orang Baling kahwin wanita Kubur Panjang – mengulas: “Dr.M sudah agak lama mendiamkan diri. Yang paling saya risau dan hairan, mengapa JebatMustDie terus juga mendiamkan diri.”

Saya amat biasa dengan Baling dan Kubur Panjang; membuat liputan lawatan Almarhum Tun Tunku Abdul Rahman Putra ke Baling pada tahun 1969 dan kakak saya berkahwin orang Kubur Panjang.

Berkenaan Tun Dr Mahathir Mohamad, khabarnya beliau ke Jepun. Untuk JebatMustDie pula kita berdoa agar beliau sihat wal afiat dan akan kembali berkarya.

Dalam keadaan laut yang bergelora. Ombak dan badai menggila. Bahtera kita patah kemudi, terkoyak layar. Nakhoda cemas. Anak-anak kapal mengganas.

Orang yang arif mengenai hukum lautan berkata, siapa yang menabur angin dia akan menuai badai. He who sows the wind shall harvest the waves.

Ketika bahtera merdeka kita dilandai badai, kemudi patah layar berkecai, nakhoda cemas anak kapal mengganas, tentulah ada pendeta dan tukang cerita yang buntu akalnya dan tumpul mata penanya.

Saya pun sekali sekala berasa terancam juga. Maklumlah kita mentimun mereka durian. Kita menggolek kita kena, mereka bergolek kita kena.

Namun saya bersyukur. Alhamdulillah dengan sokongan dan doa para pembahas serta pembaca mata pena tua saya masih tidak kering dakwatnya.

Ini ceritera kaedah berperang. Musuh kita tidak kuat tetapi kita lemah, kita kalah. Musuh kita kuat tetapi kita pintar belum tahu mereka menang. Kita kuat kerana azam. Kita berani kerana benar. Inilah peperangan mutakhir yang dinanti-nantikan pendekar dan pahlawan sebenar.

Jadi, mari menyusun seroja bunga seroja. Hiasan sanggul remaja puteri remaja. Rupa yang elok dimanja jangan dimanja. Pujalah ia sekadar sekadar saja. Sekarang bukan bermenung, zaman bermenung. Marilah kita bersama Memetik bunga.

Memancing Belida Ikan Belida

Dan kepada yang berminat memancing, biar saya ceritakan cara memancing ikan belida. Orang Kedah kata ikan selat. Orang putih kata, bronze featherback. Ada beberapa jenis ikan belida.

Ada orang kata, belida tidak makan pancing. Itu tidak tepat. Dengan cara yang betul, belida boleh dipancing. Ini cara yang diajarkan oleh Allahyarhamah nenek saya – tok, kata orang Kedah – masa saya kanak-kanak dulu.

Guna mata kail yang paling kecil sebab mulut belida sempit. Umpan cacing atau anak sepilai jeruk. Ketika banjir sedang naik, tengok di mana ikan keli dan baung mengorek cacing di gigi air. Turunkan mata kail lima atau enam kaki dari gigi air kerana di situ belida berenang. Kerana bentuk badannya, belida tidak boleh berenang di air tohor. Itu kerja keli dan baung. Turunkan mata kail sekaki atau dua kaki dalam. Insya-Allah dapat ikan belida.

Natijahnya, apa pun yang hendak kita lakukan mesti berbekalkan ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Dimulakan dengan bismillah dan niat yang baik, Insya-Allah berhasil.

Bahtera kita kukuh dan laju. Kemudi teguh kayu jati. Layar kuat diikat tali pedati. Tiangnya tinggi menjulang. Panji-panjinya Jalur Gemilang.

Tetapi kalau nakhoda kita “landlubber” - orang yang tidak berpengalaman di laut – takut-takut bahtera kita pecah berderai dihempas badai.

Manalah tahu, nakhoda terabai meninjau ufuk kerana memantau anak kapal sudah dirasuk. Andai tidak dipantau, dipujuk dan disogok, takut-takut mereka belot, derhaka dan terjun kapal. - kadirjasin.blogspot.com/

Share on Myspace