500 hadiri Berambeh Raya PAS Bintulu

HARAKAHDAILY | .

BINTULU: PAS Kawasan Bintulu telah menganjurkan program Berambeh Raya di Dun Jepak, kelmarin yang dihadiri AJK PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Ketua Penerangan PAS Sarawak Kiprawi Aman dan Yang Dipertua PAS kawasan, Ir M Azwani serta pimpinan kawasan lain turut hadir.

Program bermula seawal jam 10.00 pagi dengan beberapa acara seperti cabutan bertuah, sumbangan duit raya dan tazkirah Zohor bertajuk Keindahan Idul Fitri yang disampaikan oleh Dr Khairuddin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus menegaskan peri penting ikatan silaturrahim sesama insan khasnya sesama Muslim dipereratkan sepanjang masa dan mengambil waktu berhari raya untuk saling bermaaf-maafan.

”Biarpun ada yang dari etnik Melanau, Kedayan, Vaie dan saya sendiri dari Terengganu, namun semuanya disatukan atas akidah Islam yang satu,” pesannya.

Pada sebelah petang, beliau sempat melawat dan menyampaikan bantuan segera kepada mangsa kebakaran pekerja kilang papan di Jabatan Sungai Kemena.

Malamnya pula, beliau melancarkan Jentera Pilihan raya PAS Kawasan Bintulu di Restoran Aaliya Maju Café.

PAS Kawasan Bintulu kini telah bersiap sedia menampilkan calonnya bagi merampas kerusi Jepak dan Kakus dari Barisan Nasional dalam pilihan raya negeri yang akan datang.

Turut hadir adalah Pengarah Pilihan raya PAS Sarawak, Zharudin Naruddin dan Setiausaha PKR Cabang PKR Bintulu, Haji Jalil.

Berambeh Raya turut diadakan di restoran tersebut dengan kehadiran hampir 500 tetamu. - HARAKAHDAILY 3/8/2015

Share on Myspace