1MDB: Bersih 2.0 kecam aktivis muda direman

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya perintah tahanan reman yang dikenakan terhadap tiga aktivis muda Mandeep Karpall, Adam Adli dan Ahmad Syukri Razab, yang masing-masing dikenakan tahanan reman selama 4 hari dan 6 enam hari bermula semalam.

Pengerusinya, Maria Chin Abdullah berkata Bersih 2.0 melihat tangkapan dan tahanan reman yang dikenakan oleh pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap aktivis, ahli politik, orang awam malah terhadap pihak-pihak yang menyiasat dakwaan skandal aliran wang terkait 1MDB ke akaun peribadi Perdana Menteri sebagai sesuatu yang amat serius.

Katanya, protes anak-anak muda Demi Malaysia adalah berkenaan penambahbaikan tetapi mereka dihukum dengan tangkapan.

Tambahnya, tuntutan mereka samalah dengan tuntutan-tuntutan Bersih 2.0 ke arah akauntabiliti sepertimana yang telah dinyatakan dalam empat tuntutan sebelum ini:

- Supaya Najib Razak mendedahkan butiran akaun banknya, dan terutamanya memperjelaskan sama ada akaun AmBank dengan namanya benar-benar wujud, dan jika ya, mendedahkan butiran transaksi bagi tarikh-tarikh yang berkenaan.

- Najib Razak mesti bercuti daripada jawatan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan kesemua jawatan awam yang disandangnya selama siasatan berlangsung.

 - Bekukan akaun Najib Razak, isteri dan anak-anaknya.

 - Kesemua hasil siasatan Bank Negara, SPRM, pihak polis dan PAC berkenaan 1MDB serta syarikat-syarikat berkaitan mesti didedahkan kepada orang ramai secepat mungkin.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, berikutan kegagalan Najib untuk melaksanakan penambahbaikan dan tindakannya melumpuhkan usaha mencari kebenaran di sebalik skandal 1MDB, suara rakyat mesti terus diperdengarkan dengan lebih kuat dan jelas. - HARAKAHDAILY 3/8/2015

Share on Myspace