Penyelia Dun kongsi pengalaman mangsa banjir

ASLANI M | .

GUA MUSANG: Penyelia Dun Paloh, Noraini Hussin tinggal bersama rakyat di Chiku 3 ketika bah besar melanda hulu Kelantan akhir tahun lepas.

Sedangkan suami dan anak-anaknya berada di Pasir Pekan Tumpat. Bah turut menenggelam rumahnya di situ.

“Siang dan malam saya bersama petugas dan sukarelawan berada di Pejabat Pusat Khidmat Dun bagi memantau bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

“Kami bernasib baik kerana pusat khidmat di sini tidak ditenggelami air bah. Namun kawasan sekitar di luar Pekan Ciku 3 kebanyakan tenggelam.

“Saya dan sukarelawan membantu memindahkan mangsa-mangsa banjir yang terperangkap. Kami juga menghantar bekalan makanan sebaik sahaja banjir surut,” katanya ketika ditemui di sini.

Pusat Khidmat itu terletak di Pekan Ciku 3, tidak jauh dari rumah Adun Paloh, Datuk Nozula Mat Diah.

Ia menjadi tumpuan orang ramai ketika bah memuncak kerana di situ satu-satunya tempat yang boleh diakses internet ketika itu.

Mereka juga menggunakan generator memandangkan bekalan elektrik terputus beberapa hari. Ramai penduduk datang berlindung dan mengecas handphone di pejabat berkenaan.

Mereka memasak makanan untuk mangsa-mangsa banjir menggunakan air hujan. Air bah bercampur selut dan lumpur.

Noraini yang juga Ketua Wanita PKR Kelantan berkata, ketika bah memuncak beliau mendapat bekalan beras dari kedai-kedai runcit yang terdapat di sekitar Chiku 3.

Beliau mengakui pada awalnya terpaksa berhutang dengan kedai-kedai terbabit kerana tidak dapat ke bandar Gua Musang dan Kuala Krai kerana putus hubungan.

“Biar pun agak berat untuk berhutang namun kami terpaksa kerana bekalan beras perlu disampaikan kepada mangsa-mangsa banjir.

“Alhamdulillah tidak lama selepas itu kerajaan negeri mengagih bantuan kewangan sebanyak RM10,000 kepada setiap Dun bagi membantu mangsa-mangsa banjir,” katanya.

Noraini juga meluah rasa terkilan biar pun berusaha siang malam membantu mangsa-mangsa banjir, namun masa ada kalangan mereka yang mendakwa bantuan tidak sampai.

Sedangkan katanya beliau dan petugas Pusat Khidmat Dun Paloh beberapa kali datang ke kampung tersebut bagi menyampaikan bantuan keperluan harian.

Beliau juga berharap penempatan baru mangsa banjir yang kehilangan rumah di Limau Kasturi dan Aring 2 dapat diselesaikan secepat mungkin bagi membolehkan rumah kekal dibina.

Katanya, Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang sedang mengenal pasti tapak sesuai bagi menempatkan semula mangsa-mangsa banjir yang tiada lot sendiri.

Sementara itu anggota Exco, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata kawasan penempatan baru sudah dikenal pasti di Limau Kasturi dan Aring 2 bagi menempatkan semula mangsa-mangsa banjir. - HARAKAHDAILY 3/8/2015

Share on Myspace