Rombakan kabinet, siasatan 1MDB tergendala lagi

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Adakah Datuk Seri Najib serius hendak selesai masalah 1MDB?" tanya Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Katanya, jika Najib serius kenapa melantik Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Muhammad sebagai Timbalan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Naina Merican (Timbalan Menteri Luar Negeri), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Timbalan Menteri Pelancongan Dan Kebudayaan), Datuk Wilfred Madius (Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi) sedangkan mereka adalah anggota PAC yang dilantik dalam kalangan Ahli Parlimen.

"Kita tidak kisah perlantikan dalam anggota kabinet, ini merupakan hak prerogatif seorang Perdana Menteri.

"Tetapi ia menjadi tanda tanya kenapa mereka ini dilantik ketika isu 1MDB hangat diperbincangkan oleh semua pihak sehingga isu ini merupakan salah satu sebab Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri," ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, jika Najib benar-benar serius untuk meredakan keresahan rakyat sepatutnya biarlah selesai dahulu PAC menjalankan amanah rakyat.

Tambahnya, dengan pelantikan mereka, jawatankuasa PAC tidak boleh bersidang, sehingga berlaku pelantikan baru pada sidang Parlimen 19 Oktober ini.

Kata Ahli Parlimen Bukit Gantang itu lagi, sepatutnya PAC dijadualkan mengadakan prosiding pada 4, 5, 6, 17 dan 18 Ogos ini berkaitan 1MDB.

Pada hari ini, ujarnya pengarah eksekutif kumpulan Arul Kanda Kandasamy dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim tidak akan menghadiri prosiding inkuiri PAC esok, walaupun jawatankuasa Parlimen itu terdahulu hari ini mengatakan ia akan diteruskan.

Menurutnya, dalam satu kenyataan dikeluarkan sebentar tadi, syarikat pelaburan negara itu mengatakan ia menerima makluman rasmi daripada setiausaha Parlimen mengatakan prosiding itu ditangguhkan ke tarikh yang akan ditentukan kemudian.

"Sebelum ini mereka berdua juga gagal untuk menghadiri prosiding 1MDB kerana berada di luar negara. Apalah nasib malang PAC," ujarnya. - HARAKAHDAILY 3/8/2015

Share on Myspace