1MDB: Khairy bersama Najib atau rakyat Malaysia

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin masih terus mendiamkan diri ketika negara dilanda begitu banyak isu beberapa minggu ini; termasuklah rombakan kabinet dan pemecatan Timbalan Perdana Menteri, serbuan di pejabat SPRM dan penahanan beberapa penyiasat kes 1MDB serta penangkapan rakyat Malaysia yang hanya menunaikan hak asasi mereka.

"Saya rasa begitu pelik bagaimana Khairy tidak sedikit pun bersuara sedangkan negara sedang melalui satu kemelut politik yang besar," ujar Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Katanya, Najib dan barisan kabinet yang baru telahpun menyatakan niat mereka untuk memperketatkan lagi undang-undang yang akan mengganggu hak asasi rakyat disebabkan 1MDB.

"Kita juga sedang menyaksikan dengan jelas pemusnahan lanjut institusi-insitusi yang menyemak dan mengimbangi kuasa kerajaan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Oleh itu, beliau menggesa Khairy Jamaluddin untuk menyatakan pendiriannya sama ada berdiri bersama Najib dalam hal 1MDB ataupun bersama rakyat Malaysia yang lain termasuk anggota Umno sendiri yang mempersoalkan skandal berbilion ringgit itu. - HARAKAHDAILY 4/8/2015

Share on Myspace