Rumah kekal: Projek di bawah pusat perlahan

ASLANI M | .

GUA MUSANG: Masuk bulan kelapan projek rumah kekal di bawah kerajaan pusat di sini masih lagi perlahan. Sebaliknya agensi kerajaan negeri sedang menyiapkan 76 rumah.

Kerajaan negeri dalam kerja-kerja akhir menyiapkan sebanyak 16 rumah di Kampung Kolam Mas dan dua lagi di Batu Papan.

Manakala 44 rumah kekal dibina Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) di Simpang Pulai.

Sebanyak 14 lagi sedang dalam pembinaan di Tanah Putih. Keseluruhan sebanyak 123 rumah kekal dibina di lokasi tersebut.

Pengarah Majlis Tindakan Dun Galas, Abdullah Husain berkata sehingga sekarang hanya 38 rumah kekal sedang dibina kerajaan pusat di Dun Galas.

Katanya, tidak nampak usaha membina rumah kekal begitu serius dilaksanakan kerajaan pusat biar pun ditetapkan sebelum ini tujuh lokasi di parlimen Gua Musang.

“Sehingga sekarang hanya dua rumah siap dibina NGO di bawah kerajaan pusat di Bertam Baru di Dun Nenggiri.

“Biar pun sebuah rumah dibina kerajaan negeri sudah diduduki sejak Mac lepas sebanyak 62 lagi sedang dalam kerja-kerja akhir pembinaan,” katanya di sini.

Beliau juga berkata Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) Gua Musang kini sedang mengenal pasti rumah sewa bagi menempatkan sementara 12 mangsa banjir yang masih lagi tinggal di bawah khemah di tapak projek Bandar Utama.

Katanya, hasil beberapa perjumpaan dengan mangsa banjir terbabit mereka menyatakan persetujuan untuk berpindah ke rumah transit.

“Mereka baru menyatakan persetujuan itu biar pun usaha memujuk berpindah dilakukan sejak dahulu lagi.

“Mengikut perancangan awal mereka sepatutnya dipindahkan ke bekas perumahan polis di Bandar Lama, namun kerja-kerja baik pulih kuaters itu melibatkan kos begitu tinggi.

“Usaha mencari rumah sewa atau transit sedang dilakukan bagi membolehkan 12 daripada 14 keluarga mangsa banjir di khemah dipindahkan segera,” katanya.

Menurutnya 12 mangsa banjir terbabit disenaraikan menerima rumah kekal di bawah Maik. – HARAKAHDAILY 4/8/2015

Share on Myspace