Adakah ini cubaan diamkan siasatan skandal 1MDB?

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS memandang serius kenyataan yang dikemukakan semalam oleh Pengarah Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tuan Bahri Mohamad Zin yang mendakwa kemungkinan wujud pihak tertentu untuk mengganggu siasatan yang sedang dilakukan oleh badan tersebut.

Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan berkata, SPRM sedang menjalankan siasatan terhadap bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd dan telah membuat satu kenyataan mengenai hasil siasatan dana sejumlah RM 2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun milik  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.

Sehubungan itu, katanya, PAS melihat tindakan agresif pihak polis menahan pegawai-pegawai SPRM berhubung dakwaan kebocoran dokumen adalah satu tekanan kepada para penjawat awam dalam menjalankan tugas.

"Walhal, pihak SPRM telah menafikan tiada pegawai-pegawainya yang terlibat dalam konspirasi tersebut.

"Ini menunjukkan satu lagi tindakan terancang untuk mendiamkan skandal kewangan 1MDB apabila satu demi satu pihak yang terlibat secara langsung dalam pendedahan skandal ini telah “dikorbankan”.

Termasuklah, dua portal akhbar yang telah digantung, pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Gani Patail, pembekuan laporan interim dan prosiding siasatan PAC.

Sebaiknya kata beliau, pihak polis pula yang bertindak agresif menahan ramai pegawai kerajaan daripada SPRM dan Pejabat Peguam Negara atas dakwaan konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri.

"Banyak perkara berhubung skandal kewangan 1MDB dituntut untuk diberikan penjelasan. Apakah semua ini telah diketepikan kerana menjaga kepentingan peribadi Perdana Menteri?" soal beliau. – HARAKAHDAILY 4/8/2015

Share on Myspace