Jawapan yang menimbulkan lebih banyak persoalan

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam mengundang lebih banyak persoalan mengenai sumbangan politik berjumlah RM2.6 bilion ke akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, terutamanya berhubung peruntukan-peruntukan khusus Akta SPRM 2009.

Menurut Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli,  Seksyen 3 Akta SPRM menetapkan bahawa Najib Tun Razak adalah penjawat awam yang tidak dibenarkan menerima “suapan” dalam apa jua bentuk sekali pun.

Takrifan “suapan” di bawah akta ini termasuklah hadiah dan derma apabila hadiah dan derma itu diberikan untuk mendapat balasan.
 
Manakala di dalam Seksyen 50 Akta SPRM menetapkan bahawa sekiranya seorang penjawat awam memberi atau menerima suapan, penjawat awam itu telah melakukan satu rasuah.
 
Dan, Seksyen 16 Akta SPRM menetapkan bahawa seseorang yang didapati bersalah melakukan rasuah boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun.
 
Jelas Rafizi, tidak ada rakyat Malaysia yang waras yang boleh menerima penjelasan bahawa Najib Tun Razak menerima derma sebanyak RM2.6 bilion daripada seseorang untuk membiayai kempen PRU13 Barisan Nasional tanpa penderma itu mendapat sebarang balasan.

"Oleh itu, derma yang disebut-sebut oleh pimpinan Umno sekarang ini boleh digolongkan sebagai suapan mengikut Seksyen 3 Akta SPRM.
 
Katanya, urusniaga pemindahan wang sebanyak RM2.6 bilion ke akaun peribadi Najib Tun Razak hanyalah satu tugasan kecil yang kebetulan mendapat perhatian rakyat apabila Wall Street Journal mendedahkan adanya dana yang dipindahkan ke akaun peribadi Perdana Menteri.

Oleh hal yang demikian, jelasnya, kenyataan SPRM semalam tidak sedikit pun menjawab soalan-soalan penting yang perlu disiasat oleh Pasukan Petugas Khas yang bertanggungjawab kepada rakyat untuk merungkai semua persoalan mengenai 1MDB.

"Ini meliputi semua tuduhan yang dibawa sebelum ini termasuklah tuduhan wang 1MDB dipindahkan ke akaun milik individu yang rapat dengan Najib Tun Razak seperti Jho Low; sehinggalah kegagalan 1MDB memenuhi komitmen kewangannya untuk membayar hutangnya yang telah mencecah RM42 bilion," ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/8/2015

Share on Myspace