ARF himpunkan 27 negara rantau Asia Pasifik

ROHANI MOHD IBRAHIM | .

KUALA LUMPUR: Forum Serantau ASEAN (ARF) ke-22 pada Khamis ini akan menyaksikan penerimaan beberapa rancangan kerja dan inisiatif untuk memandu proses ARF bagi Sesi Antara Tahun 2015/2016, kata Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman.
    
Beliau berkata rancangan kerja itu bertujuan menangani beberapa isu yang memberi kesan kepada rantau ini seperti keselamatan maritim, bantuan bencana, memerangi keganasan, jenayah rentas sempadan, keselamatan serta penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi.
    
"Rancangan kerja dan inisiatif ARF akan merapatkan lagi kerjasama antara negara peserta ARF dalam menangani isu keselamatan politik yang menyelubungi rantau ini dan ke arah penubuhan Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN," katanya kepada Bernama.
    
Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-48, Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan, di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini dari 1 hingga 6 Ogos.
    
Mengulas lanjut tentang ARF, Anifah berkata satu daripada tumpuan utama ARF ke-22 membabitkan penyertaan 27 negara adalah pertukaran pandangan yang konstruktif berkaitan isu serantau dan antarabangsa termasuk perkembangan di Semenanjung Korea.
    
"ARF adalah satu-satunya platform di rantau ini yang menerima kehadiran Korea Utara dan Korea Selatan untuk menyertai dialog konstruktif bersama baki 25 lagi negara peserta ARF ke arah memperkukuhkan keamanan dan kestabilan di rantau ini," katanya.
    
Ketegangan memuncak dilaporkan di Semenanjung Korea apabila Korea Selatan baru-baru ini menolak gesaan Korea Utara supaya menamatkan latihan ketenteraan bersama oleh Korea Selatan-Amerika Syarikat.
    
Seoul pula sebaliknya mempertahankan gerakan bersama itu sebagai hanya bermaksud untuk 'mempertahankan diri'.
    
ARF adalah forum utama bagi dialog keselamatan di Asia yang menghimpunkan 27 negara yang mempunyai pertalian dalam keselamatan di rantau Asia Pasifik.
    
Kesemua 27 negara itu ialah Australia, Bangladesh, Brunei Darussalam, Kemboja, Kanada, China, Korea Utara, Kesatuan Eropah, India, Indonesia, Jepun, Laos, Malaysia, Mongolia, Myanmar, New Zealand, Pakistan, Papua New Guinea, Filipina, Korea Selatan, Rusia, Singapura, Sri Lanka, Thailand, Timor-Leste,
Amerika Syarikat dan Vietnam. - BERNAMA

Share on Myspace