Kianati negara, jual tanah selamatkan 1MDB

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) membantah pengumuman Perdana Menteri bahawa tanah milik 1MDB di bandar raya ini yang strategik dan  bernilai tinggi akan dijual kepada syarikat daripada China dan Qatar yang menunjukkan minat bagi mengatasi hutang yang ditanggung oleh syarikat pelaburan milik kerajaan itu.

Mengulas perkara itu, Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid, tindakan itu disifatkan tidak masuk akal kerana boleh memusnahkan negara apabila aset terpenting negara dijual kepada syarikat daripada negara luar.

"Dalam pengisytiharan itu, beliau meminta diberi masa enam bulan untuk membaik pulih 1MDB yang bermasalah itu , tanah yang ada dalam milik syarikat itu  bakal dijual kepada syarikat luar negara untuk mendapat keuntungan dan membayar hutang.

"Adakah ini caranya untuk mengatasi masalah hutang dengan cara menjual aset negara kepada pihak luar. Apa beza tindakan ini dengan mengkhianati negara? Apabila hutang disebabkan oleh pinjaman yang tidak sepatutnya dibuat, mahu dilunaskan dengan menjual aset negara, itu sama sahaja dengan menjual negara sekaligus kedaulatannya," katanya.

Beliau menegaskan aset negara terutama tanah tidak boleh dijadikan komoditi untuk dijual dengan mudah hanya kerana sebuah syarikat kerajaan menghadapi masalah kewangan.

Tegas beliau, masalah 1 MDB adalah masalah pengurusan dan rencana bisnes yang salah.

Malangnya, operasi perniagaan yang dikatakan 1MDB itu nampaknya hanya bersifat jual beli hartanah dan bukan pelaburan yang sebenar.

Penjualan semula tanah TRX  (Tun Razak Exchange) milik 1MDB yang dibeli oleh Tabung Haji juga katanya, membuktikan operasi 1MDB telah mengheret agensi tabungan awam yang lain untuk menyelesaikan hutangnya .

"Malangnya sehingga kini transaksi penjualan tanah TRX yang dikatakan dijual oleh Tabung Haji itu tidak jelas.

"Apakah yang bakal terjadi kepada aset hartanah negara jika cara begini dipilih untuk menyelesaikan kemelut hutang akibat dari pengurusan yang lemah," tambah beliau.

Justeru Mapim mengesa tanah strategik di bandar raya ini tidak dikorbankan kepada syarikat luar sebaliknya 1MDB perlu diambil alih bagi melakukan penstrukturan semula, manakala wang yang telah disalahguna mesti  dipulangkan semula kepada kerajaan.

"Membeli tanah kerajaan dengan harga yang murah dan kemudiaan menjualkannya untuk membuat keuntungan dan membayar hutang adalah tindakan yang tidak boleh diterima sekali. Pihak berkuasa perlu merujuk kepada Kanun Tanah Negara, sama ada ini dibenarkan atau tidak," tegas beliau. – HARAKAHDAILY 5/8/2015

Share on Myspace