Apakah wang RM2.6 bilion sebenarnya untuk Umno?

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

TERAS Pengupayaan Melayu (Teras) menyatakan rasa terkejut kesahihan bahawa akaun peribadi Datuk Seri Najib, PM yang memiliki simpanan RM2.6 bilion kini terdedah kepada awam. Hal Ini tersebar luas yang awalnya cuba dinafikan oleh beberapa menteri kabinet.

Lebih mengejutkan lagi Datuk Azlina pula mempertahankan Najib dengan mengatakan tidak salah seseorang itu menerima sumbangan untuk dimasukkan ke dalam akaun peribadi.

Selama ini pihak publik tidak menyangka bahawa ada penderma yang mampu menderma sejumlah wang sebesar itu kepada mana-mana pihak.

Kami ini melihat ini suatu yang sangat mencurigakan kerana pihak penderma pasti mempunyai muslihat tersendiri untuk sanggup menyumbang sejumlah itu.

Siasatan pasti wajar dilakukan untuk mengetahui apa tujuan wang sebanyak itu didermakan. Jikapun benar ia untuk tujuan menampung perbelanjaan pilihan raya, apakah ini dibenarkan oleh SPR.

Persoalan lagi ialah apakah Najib telah menerima mandat dari Umno untuk mengizinkan wang itu dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Soalan yang dilontarkan oleh Tan Sri Muhyuddin Yassin kenapa dimasukkan dalam akaun peribadi Najib, mendedahkan bahawa pimpinan Umno tidak tahu menahu hal ini. Soalnya apakah wang itu sebenarnya untuk Umno?


Kami percaya tidak ada seorang penderma yang sanggup menderma sejumlah wang sedemikian besar hanya untuk tujuan pembiayaan kegiatan politik jika ia tidak mendapat manfaat yang lebih besar dari itu.

Soalnya kenapa pihak Bank Negara dan LHDN tidak tahu hal ini dan mengambil tindakan dari negara mana, siapa dan bagaimana wang itu dimasukkan dalam akaun peribadi Najib.

Aliran masuk dan keluar negara wang kini semua dipantau oleh bank negara untuk mencegah pelbagai jenayah dan urusan yang membabitkan wang haram. Oleh kerana itu sangat pelik kenapa baru sekarang baru siasatan dilakukan oleh SPRM.

Kami menegaskan slogan rakyat didahulukan yang sering diwar-warkan oleh Najib itu sema sekali tidak bermakna lagi. Beliau menyimpan wang berbilion ringgit, yang membayangkan seorang pemimpin boleh menjadi super kaya manakala rakyat terus bergelumang dengan kos hidup yang menghimpitkan.

Adalah munasabah rakyat hilang kepercayaan kepada pemimpin dan kerajaan jika hal ini dianggap perkara biasa dan tidak perlu diambil tindakan.

Persepsi negatif yang cuba dibersihkan dengan mengadakan rombakkan kabinet baru-baru ini pasti tidak akan berjaya apabila isu RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib muncul dan tidak dijelaskan dengan jujur. - HARAKAHDAILY 5/8/2015

Penulis ialah Presiden Teras.

Share on Myspace