1MDB:Tangguh prosiding PAC tindakan sabotaj

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengecam tindakan kerajaan yang menangguhkan prosiding siasatan 1MDB oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ke satu tarikh yang tidak pasti.

Naib Ketua DPPM, Khairil Nizam Khirudin berkata, pihaknya tidak boleh menerima alasan penangguhan tersebut hanya kerana bekas pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed dilantik ke jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri beberapa hari lalu.

Ini, ujar beliau jelas satu tindakan sabotaj yang dilakukan oleh kerajaan.

"Prosiding siasatan yang dijadualkan bermula pada hari ini dijangka akan memanggil Presiden dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, DPPM melihat tindakan YAB Perdana Menteri yang merombak kabinet baru-baru ini memberi kesan langsung kepada PAC dan tidak menolak kemungkinan untuk menyelamatkan individu-individu penting 1MDB daripada prosiding siasatan termasuk taikun Jho Low.

Sementara itu, kata beliau DPPM juga menyelar sejumlah RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun milik Perdana Menteri sepertimana yang dijelaskan oleh SPRM semalam.

Menurutnya, tindakan tersebut boleh terdedah kepada aktiviti pengubahan wang haram yang berleluasa kepada parti-parti politik di Malaysia.

"Jika ianya adalah dana untuk parti Umno, maka kami mencabar pihak Umno untuk mendedahkan penyata kewangan bagi tahun berkenaan yang telah diserahkan kepada pihak ROS bagi mengesahkan dakwaan transaksi tersebut," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 5/8/2015

Share on Myspace