Derma RM2.6 bilion terus menghitamkan imej Najib

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) selaku antara pertubuhan yang mewakili umat Islam di Malaysia berasa terhina dengan kenyataan rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertarikh 3 Ogos 2015 berkaitan siasatan kemasukan wang berjumlah RM2.6 bilion ke akaun milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden Abim, Amidi Abd Manan berkata ia jelas sebagai usaha memperbodoh rakyat secara terang-terangan.

"Kenyataan seperti ini adalah satu kenyataan yang mengkhianati rakyat Malaysia.

"Khianat terhadap kepercayaan rakyat yang mengamanahkan tugas untuk terus menjaga integriti dan kredibiliti institusi kerajaan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menruutnya, semua rakyat tahu jumlah yang sebegitu besar adalah sesuatu yang hampir mustahil untuk berlaku dalam dunia hari ini.

Tambahan pula, kata beliau menerima derma sebegitu besar secara tersembunyi adalah satu perbuatan yang boleh mengundang fitnah yang besar.

Beliau berkata, pelbagai soalan yang membeliti tubuh badan Najib menjadi semakin busuk dengan kenyataan seperti ini.

"Persoalannya, siapakah penderma, ke mana dibelanjakan, apakah tujuan sumbangan, adakah ia melibatkan sebarang perjanjian, terus menghitamkan imej beliau selaku Perdana Menteri Malaysia," ujarnya.

Katanya lagi, kenyataan itu juga jelas menjustifikasikan agar Najib bercuti bagi meredakan sebarang kekalutan berkaitan skandal yang membeliti beliau. - HARAKAHDAILY 5/8/2015

Share on Myspace