Pemimpin BN menyusahkan semua orang

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Tugas pemimpin negara menyenangkan rakyat, bukan menyusahkan rakyat," kata Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Katanya, apa yang berlaku kepada pemimpin BN menyusahkan semua pihak daripada rakyat biasa, SPRM, Bank Negara, Polis, Pejabat Peguam Negara dan anggota kabinet.

"Contohnya isu 1MDB, banyak perkara yang selama ini kita tidak tahu, jadi tahu," ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, rakyat tidak tahu rupanya ada penderma yang bermurah hati memasukkan wang sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.

Selepas itu, ujarnya terdedah zaman Tun Mahathir Mohamad dahulupun ada sumbangan wang daripada pihak tertentu.

Cuma, katanya menurut Pengarah Komunikasi dan Strategi Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan, pada masa itu Tun menamakan proksi sehingga sukar untuk menggunakan wang tersebut.

Maka, ujar beliau zaman Najib diletakkan atas nama Presiden Umno supaya memudahkan wang itu digunakan.

Justeru, menurutnya rakyat terkejut kerana bilangannya agak banyak dan sekarang SPRM juga pening kepala kerana integriti mereka teruji dan dipermainkan.

"Berbagai kata-kata dan cemuhan dituju kepada SPRM. Sehingga ada kata-kata, kalau sedikit rasuah corruption, kalau banyak komisyen. Kalau 'by hand' rasuah, kalau "bank in"derma.

"Kalau RM100 corruption, kalau juta komisyen, kalau bilion donation," katanya lagi.

Menurut beliau, semuanya gara-gara kepimpinan negara hari ini yang menyusahkan semua pihak.

"Kita yakin masih ramai pegawai SPRM yang telus dan tegas di dalam menjalankan tugas, tetapi apakan daya, hajat tidak kesampaian, kerana mereka mentimun.

"Insan kerdil yang tidak boleh tegak idealisma perjuangan, akhirnya ada yang sakit jiwa," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Begitu juga, kata beliau pihak Bank Negara juga tertekan.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan di mana Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

"Bukankah kalau kita rakyat biasa jika ada wang yang mencurigai masuk ke dalam akaun bank, maka pihak bank negara boleh menyiasat, daripada mana sumber ini diperolehi?" tanya beliau.

Tanya beliau lagi, kalau wang RM2.6 bilion masuk ke dalam akaun peribadi, apakah tidak ada unsur kecurigaan.

"Sekali lagi Bank Negara kempunan!" ujarnya. - HARAKAHDAILY 5/8/2015

Share on Myspace