Kepimpinan ulama kukuhkan posisi PAS - Dr Nawab

HARAKAHDAILY | .

Wartawan Harakah, IZWAN ABDUL HALIM meneroka pandangan luar terhadap PAS khususnya berkait komposisi PAS dalam politik semasa Malaysia dan antarabangsa serta isu-isu disekitarnya. Ikuti temubual beliau bersama Koordinator Malaysian Studies Program, Rajaratnam School of International Studies, Nanyang Technological University of Singapore, Prof Dr Nawab Osman dalam kunjungannya ke Singapura pada 2 Ogos lalu. Prof Nawab banyak membuat kajian politik termasuk berkaitan Malaysia.

Prof, daripada pengalaman, pengamatan dan kajian yang telah anda buat, bagaimana Prof kedudukan PAS dalam politik Malaysia. Adakah dalam usia 64 tahun sekarang ini, momentum gerakannya semakin kuat atau melemah?

Saya lihat dari tahun 2008, masalah dalaman PAS semakin ketara dan begitu mendominasi landskap politik pembangkang di Malaysia dan politik Malaysia untuk seluruhnya. Beberapa bulan lepas di mana selepas Muktamar PAS, saya lihat PAS ini telah sendiri secara ideologinya telah kembali kepada ideologi kepimpinan ulama umpama yang selalu  diuar-uarkan dari tahun 1981. Dari satu segi, ada besar kemungkinan bahawa PAS akan kalah di beberapa kawasan yang pada pilihan raya lepas PAS telah memenangi kerana sokongan oleh orang-orang bukan Islam. Tetapi di kawasan-kawasan yang lebih didominasi orang Melayu atau orang Melayu lebih banyak majoritinya, ada besar kemungkinan momentum di kawasan-kawasan ini lebih kuat umpamanya di Kedah, Terengganu, Kelantan dan sebagainya, juga di kawasan-kawasan luar bandar, di Selangor, mungkin Johor dan beberapa kawasan lain.
 
PAS ini parti yang berteraskan Islam. Bagaimana Prof melihat cabaran yang ada ke atas PAS pada hari ini dan jugak jangkaan Prof, pada masa depan PAS ini akan kekal relevan atau dia perlu mengolah pendekatannya?

Saya rasa untuk jangka masa panjang, PAS sebagai satu parti yang berteraskan Islam, besar kemungkinan kebanyakan sokongan yang diberikan kepada PAS adalah sokongan daripada orang Islam atau orang Melayu. Saya rasa di landskap seperti ini, ada kemungkinan besar PAS akan mendapat lebih banyak sokongan daripada orang Melayu. Yang kedua, saya rasa setiap parti itu perlu mengolah pendekatan kerana demografi pengundi itu berlainan terutamanya strategi untuk mendapat sokongan misalnya daripada belia-belia, orang-orang muda mungkin bersifat lain daripada pendekatan kepada golongan lebih tua dan seumpamanya. Kita lihat Allahyarham Tok Guru Nik Aziz pada tahun 1990-an atau tahun 2000 ini dia cuba untuk mendekati golongan muda melalui sukan melalui muzik dan budaya. Mungkin ini salah satu cara. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi 10 atau 20 tahun depan. Jadi strategi politik sebuah parti harus terus bertukar dan melihat bagaimana cara terbaik. Kita lihat dakwah Rasulullah sendiri, memang strategi yang digunakan Rasulullah berubah, tidak sama dengan setiap golongan setiap kumpulan. Kita lihat hadis-hadis umpamanya, ada hadis fokusnya satu perkara dan ada fokus pada yang lain. Jadi demografi itu agak penting bagi sebuah parti politik, tak kira sama ada politik Islam atau tidak. Saya rasa bagi parti politik Islam ia lebih penting.

Mungkin Prof sedia maklum, muktamar baru ini menunjukkan ulama berjaya mengukuhkan kedudukan dalam saf kepimpinan parti. Apa impaknya?

Saya rasa, memang golongan ulama ini satu landasan yang begitu penting sekali untuk PAS. Di mana kita telah lihat, selama lebih dari 30 tahun kepimpinan ulama ini telah dapat mengukuhkan posisi PAS. Sama juga impak kepada PAS dengan adanya golongan yang telah meninggalkan PAS ini, saya rasa ada impaknya terutama kepada orang-orang bukan Islam. Saya rasa kerana masalah yang dipotrait oleh media semasa dan sebagainya, ada seperti (mewujudkan) satu kebimbangan kepada Islam dan politik Islam. Saya rasa ada impak kepada pengundi yang bukan Islam, kepada PAS mungkin ada impak yang negatifnya. Tapi untuk jika kita lihat secara positifnya, PAS sekarang mungkin sebagai satu parti politik, strategi politik boleh ditumpukan lebih masa atau perhatian kepada usaha untuk mendapatkan pengundi Melayu dan pengundi Islam di Malaysia. Strategi ini juga saya rasa sama ada PAS di dalam Pakatan Rakyat atau tidak boleh terus unsur yang PAS akan berjaya sebagai sebuah parti politik. Saya rasa sama ada sebahagian daripada Pakatan Rakyat atau tidak, impaknya ada dua, ada positif dan ada negatif.

Selain itu, beliau turut diminta pandangan mengenai pengundi bukan Islam terhadap PAS, kemunculan Gerakan Harapan Baru, sejauh mana ia mampu menyaingi PAS, cadangan pimpinan PAS melontarkan Kerajaan Perpaduan, isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah dan pengaruh PAS di peringkat antarabangsa. - HARAKAHDAILY 5/8/2015

WAWANCARA PENUH DALAM AKHBAR HARAKAH BIL 2069 EDISI JUMAAT INI.

Share on Myspace