Siasatan terhadap skandal 1MDB semakin tercemar

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap skandal 1MDB semakin tercemar dengan tindakan campur tangan pihak kerajaan terhadap kumpulan penyiasat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

"Beberapa tindakan kerajaan ketika ini dilihat tidak profesional dan mengganggu siasatan terhadap 1MDB daripada disempurnakan," kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Menurutnya, rakyat mengharapkan penjelasan terhadap dakwaan skandal 1MDB dilakukan melalui suatu siasatan yang telus dan bersih.

Namun, ujarnya harapan tersebut ternyata meleset selepas satu demi satu tindakan pihak kerajaan yang mengotorkan ruang siasatan tersebut dan ini sekaligus menjadikan persoalan terhadap skandal 1MDB semakin menemui jalan buntu.

Tambahnya, rombakan kabinet dengan melantik Pengerusi PAC yang sedang mempengerusikan siasatan terhadap 1MDB menunjukkan ada campur tangan pihak kerajaan terhadap siasatan 1MDB.

Beliau berkata, ia juga disusuli pengguguran ke atas Tan Sri Gani Patail yang juga terlibat dalam ‘special task force’ bersama BNM, PDRM dan SPRM.

Ahli Parlimen Pasir Mas menambah, dalam siasatan yang masih dipertengahan jalan, SPRM pula mendedahkan jumlah RM2.6 bilion yang disuntik ke akaun PM adalah dari ‘penderma’.

"Mengapa tidak menunggu laporan lengkap daripada PAC, badan yang bertanggungjawab menyiasat segala dakwaan terhadap 1MDB?" tanya beliau.

Katanya, kesemua permainan politik ini mengganggu prosiding siasatan.

Menurutnya lagi, ia tidak akan menyelesaikan permasalahan yang sedang dihadapi negara ketika ini malah semakin menambah membarah dalam kepimpinan Umno BN hari ini.

DPPM, ujarnya tegas mendesak kerajaan agar tidak campur tangan terhadap siasatan yang dilakukan PAC sehingga laporan lengkap siasatan tersebut didedahkan kepada rakyat.

Katanya, DPPM mencadangkan agar PM mengambil cuti dalam tempoh berkenaan supaya siasatan dapat berlaku dengan lancar dan tanpa sebarang gangguan.

Selain itu, ujar beliau DPPM juga menyarankan PAC agar meneruskan siasatan skandal hutang 1MDB sehingga selesai.

"Laporan penuh siasatan pula mesti dibentangkan secepat mungkin supaya segala kekusutan yang melanda negara segera diselesaikan," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 5/8/2015

Share on Myspace