Siapakah tentukan PM bersalah atau tidak?

HARAKAHDAILY | .

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada 31 Julai lalu telah menyatakan ketetapan bahawa prosiding terhadap 1MDB  oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak boleh diadakan tanpa pengerusi baharu bagi menggantikan Datuk Nur Jazlan Mohamad yang telah dilantik sebagai anggota kabinet.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula pada petang semalam telah mengesahkan bahawa Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menyatakan tiada keperluan untuk ada Pasukan Petugas Khas yang dianggotai secara bersama oleh SPRM, PDRM dan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menyiasat isu 1MDB dan skandal yang dikaitkan dengan YAB Perdana Menteri.

Kesan tekanan daripada luar dan dalam Umno BN sendiri berhubung isu ini, Datuk Seri Najib Razak telah melakukan pendekatan 'ekstrem' dengan menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan licik melalui rombakan semula kabinet justeru usaha-usaha PAC dan Pasukan Petugas Khas untuk menyiasat secara adil, menyeluruh dan telus kini terbantut.

Hasil dapatan siasatan sehingga setakat ini juga tidak dapat didedahkan kepada awam berikutan ada sekatan pada aspek perundangan.

Lebih mengeruhkan keadaan apabila PDRM melakukan serbuan dan tangkapan ke atas pegawai-pegawai SPRM justeru mengganggu ketelusan siasatan ini secara menyeluruh dan menjejaskan imej serta kredibiliti SPRM sebagai sebuah suruhanjaya bebas.

Seluruh rakyat mahu tahu apakah kebenaran di sebalik isu 1MDB dan tuduhan ke atas YAB Datuk Seri Najib Razak.

Jika ia tidak benar, itulah yang menjadi harapan seluruh rakyat. Tetapi, jika ia benar, semuanya mesti didakwa dan dihukum dengan sesungguhnya.

Namun, siapa yang akan menentusahkan kebenaran ini.

PDRM kelihatannya diperalat, SPRM pula ditekan kuat, BNM masih membisu dan PAC pula sedang membeku. - HARAKAHDAILY 6/8/2015

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
(AJK PAS Pusat / Ahli Parlimen Kuala Nerus)

Share on Myspace