Skandal 1MDB: Mengapa pegawai SPRM jadi sasaran?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) sangat kesal terhadap perkembangan terkini berkaitan dengan proses siasatan isu 1MDB yang terganggu dan semakin merumitkan keadaan.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan pihak polis yang kini mensasar pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang melaksanakan tanggungjawab menyiasat penyelewengan agensi pelaburan kerajaan 1MDB menimbulkan tandatanya masyarakat awam.

"Kami prihatin terhadap reaksi pegawai kanan SPRM yang menyatakan kekesalan terhadap pihak polis yang dilihat mengganggu proses siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM," ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, acara solat hajat yang diadakan di pejabat SPRM kelmarin menandakan pegawai SPRM kini merasa sangat tertekan dengan arahan yang diberi kepada mereka.

Menurutnya, kenyataan Timbalan Ketua Pengarah SPRM yang menyebut ada dalang yang cuba mempengaruhi proses siasatan oleh SPRM ke atas 1MDB ada satu pernyataan yang amat serius.

Tambah beliau, ia memberi gambaran bahawa SPRM tidak bebas melaksanakan tugas mereka kerana arahan yang perlu dipatuhi.

"Kami amat kesal jika benar ada dalang yang kini sedang terdesak sehingga cuba melakukan suatu tindakan drastik untuk menutup penyelewengan yang dikesan dalam pengurusan pelaburan oleh agensi yang berkaitan," ujarnya.

Beliau berkata, perkembangan yang semakin tidak sihat berlegar dalam isu ini bakal mengundang pandangan negatif dunia terhadap pentadbiran negara.

Keadaan itu, katanya akan menambah rumit pihak kerajaan untuk memperbetulkan persepsi rakyat dan keyakinan awam terhadap kerajaan dan usaha menjernihkan keadaan akan bertambah sukar untuk dipulih kerana terlalu banyak persoalan yang tidak terjawab.

"Kami mengecam pihak yang nampaknya cuba menghalang perjalanan siasatan kes berprofil tinggi ini.

"Kami menggesa supaya intergriti dan tanggungjawab SPRM untuk menyelesaikan sisatan ini hendaklah tidak diganggu," katanya.

Beliau menambah, pihak berkenaan dan yang telah dipastikan SPRM perlu disoal perlu memberi kerjasama sepenuhnya.

"Yang harus diberi perhatian ialah mereka yang ada kaitan dengan kes bukan mereka yang menjadi whistleblower," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 6/8/2015

Share on Myspace