PAS sokong SPRM mendepani konspirasi politik

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: PAS terus memberi sokongan padu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menyiasat skandal kewangan yang berlaku.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, SPRM perlu tegas dalam melakukan siasatan walaupun terpaksa berdepan dengan penahanan pegawai penyiasatan yang luar biasa dan tekanan politik yang keterlaluan.

"SPRM sebelum ini menegaskan bahawa agensi tersebut hanya memberi fokus terhadap SRC International Sdn Bhd yang melibatkan dana sebanyak RM4 bilion dan sumbangan 'derma' berjumlah RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

"PAS memandang serius kenyataan Pengarah Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zain beberapa hari lalu yang mendakwa terdapat dalang yang mengarahkan pihak polis menahan pegawai-pegawai SPRM yang dikatakan berpunca daripada kebocoran dokumen siasatan," katanya.

Menurut beliau, SPRM adalah anggota Pasukan Petugas Khas dan seolah-olah akan menerima korban politik sepertimana yang berlaku ke atas Muhyiddin dan Abdul Gani beberapa hari lalu.

Katanya lagi, PAS berharap agar semua pegawai SPRM yang terlibat agar teguh berdepan dengan konspirasi politik ini.

"Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) kelmarin, penahanan pegawai SPRM telah menjejaskan siasatan kes yang sedang dijalankan terhadap SRC International Sdn Bhd.

"Beliau turut menjelaskan bahawa syarikat berkenaan telah mendepositkan sejumlah RM 42 juta (daripada 'derma' RM2.6 bilion) ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri," tambah beliau lagi.

Ahli Parlimen Temerloh itu turut berkata, SRC International Sdn Bhd pada asalnya adalah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kemudian diserahmilik kepada Kementerian Kewangan di mana Menteri Kewangan ialah Datuk Seri Najib Razak sendiri.

"Ini bermakna beliau mempunyai konflik kepentingan dalam kes ini, sepertimana yang kita maklum, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula adalah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri.

"Menterinya juga sekarang menyandang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri setelah Muhyiddin digugurkan kerana lantang mengkritik 1MDB," katanya lagi.

Nasruddin turut kesal apabila Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebelum ini akan memulakan prosiding siasatan PAC pada 4 Ogos ditangguhkan berikutan bekas Pengerusi PAC dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

"PAC dijangkakan akan memanggil presiden syarikat 1MDB termasuk taikun bisnes Jho Low, namun ditangguhkan kerana rombakan kabinet.

"Ini semua secara langsung melibatkan integriti dan kredibiliti Perdana Menteri, skandal ini memberi kesan terhadap struktur pentadbiran kerajaan dan ia juga boleh dianggap sebagai faktor utama yang melemahkan kedudukan nilai Ringgit Malaysia pada hari ini. Ia menghakis sentimen keyakinan para pelabur terhadap ekonomi di negara ini," sambung beliau. - HARAKAHDAILY 6/8/2015

Share on Myspace