Hentikan keganasan terhadap rakyat Palestin

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Rakyat Palestin berharap masyarakat antarabangsa akan campur tangan bagi menghentikan keganasan yang dilakukan Israel terhadap mereka, termasuk anak kecil yang tidak berdosa.

"Kami meminta agar masyarakat antarabangsa bersuara dan berdiri bersama kami dalam menentang keganasan Israel terhadap hak asasi manusia," kata Duta Besar Palestin di Malaysia, Dr Anwar Al Agha kepada Bernama di kedutaan negara itu di sini Khamis.

Kedutaan Palestin menyediakan buku takziah untuk ditanda tangani orang ramai berhubung nasib Ali Saad Dawabsha, 18 bulan, yang menjadi mangsa terbaru keganasan peneroka Israel, yang menurut laporan berita, maut akibat terbakar di rumah keluarganya di Tebing Barat yang duduki Israel pada 31 Julai lepas.

Beberapa anggota keluarganya yang lain juga melecur teruk apabila peneroka Yahudi menyerang rumah mereka di kampung Duma, berhampiran Nablus.

Anwar berkata rakyat Palestin sangat marah dengan kejadian itu dan menggesa kerajaan Israel bertanggungjawab mengenainya.

"Kami, sebagai rakyat Palestin, amat marah dengan apa yang berlaku kepada bayi tidak bersalah ini dan ia adalah sebahagian daripada serangan Yahudi terhadap rakyat Palestin.

"Kami mahu kerajaan Israel menghalang peneroka daripada melakukan serangan kejam terhadap masyarakat kami," katanya. - Bernama

Share on Myspace