SPRM: Mencegah kemungkaran dalam negara

MUHAMMAD NAJHAN HALIM | .

ALLAH SWT berfirman dalam Surah At Taubah 71,

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

"..Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana..."

عن حذيفة بن اليمان أن النبي صلى الله عليه وسلم قال "والذي نفسي بيده لتأمرن بالمعروف ولتنهون عن المنكر أو ليوشكن الله أن يبعث عليكم عقابا من عنده ثم لتدعنه فلا يستجيب لكم " ورواه الترمذي وابن ماجه من حديث عمرو بن أبي عمرو به وقال الترمذي

Hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah ibn al Yaman r.a. bahawasanya Nabi SAW bersabda,

"...dan demi diriku dibawah kekuasaan-Nya, hendaklah kamu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar atau (sekiranya kamu tidak melakukannya) nescaya dibimbangi Allah SWT akan menghantarkan azab ke atas kamu dari sisinya, kemudian kalau kamu berdoa kepada-Nya (agar dilepaskan azab itu), maka Allah tidak akan memakbulkan doa kamu..."

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menurut Akta SPRM 2009 adalah satu badan yang diwujudkan dengan tujuan yang murni dan mulia. Iaitu untuk membenteras gejala rasuah yang merosakkan bangsa dan negara.

SPRM yang mula berfungsi sebagai sebuah badan khas daripada penggubalan sebuah akta selepas pindaan Akta Pencegah Rasuah 1997 dinaiktaraf menjadi institusi yang mampu bertindak dan bergerak untuk memastikan ketelusan dan intergriti dalam kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan, swasta mahupun komuniti masyarakat.

SPRM masih lagi dianggap belum bebas sepenuhnya sebagaimana yang dituntut oleh rakyat kerana ia masih lagi diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri sekalipun selepas pindaan akta, namun sekiranya kuasa yang keupayaan yang ada pada SPRM dapat digunakan sebaik mungkin serta tiada unsur campur tangan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab, gejala rasuah yang merebak dalam negara kita mampu ditangani dengan sistematik dan berkesan oleh SPRM.

SPRM berkali-kali tercabar kemampuan dan keupayaannya semenjak daripada ia sebagai sebuah jabatan kemudiannya ditukar kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 13 Mei 1982 dan kali terakhirnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dilihat bukan sekadar memiliki kemampuan tetapi benar-benar bertindak ke atas laporan-laporan yang dibuat terutamanya melibatkan penjawat awam dan pemimpin negara dan masyarakat.

Kes-kes sama ada kecil mahupun besar dan khasnya berprofil tinggi yang pernah dan sedang ditangani oleh SPRM hendaklah diambil tindakan sewajarnya yang seringkali kedengaran disebut daripada pihak SPRM akan disiasat dan sedang disiasat. Tetapi malangnya setelah disiasat, namun tiada kesudahannya. Seolah-olah menampakkan bahawa kes-kes berkenaan telah dipendamkan dan ditutup begitu sahaja yang mengundang keraguan daripada kalangan masyarakat akan ketelusan dan kemampuan SPRM.

Kes-kes seperti MIKA Holding, Perwaja, PKFZ, Kapal Selam Scorpene, Altantunya dan dan lain-lainnya sepatutnya ada kesudahannya dengan tindakan daripada SPRM sama ada  dakwaan di mahkamah dengan mengheret para penjenayah rasuah ini ke muka pengadilan ataupun sekurang-kurangnya penjelasan yang lojik dan waras bagi merungkai kekusutan, tetapi amat malang sekali kes-kes yang melibatkan isu nasional negara dan rakyat bakal telah dibungkus begitu sahaja.

Yang terbaru kes 1MDB yang dikatakan melibatkan wang sejumlah 2.6 billion yang dimasukkan ke akaun Perdana Menteri Najib Razak yang disiasat oleh pihak SPRM.

Dengan kes 1MDB ini, setelah desakan daripada pelbagai pihak terrutamanya sebahagian pemimpin kerajaan sendiri dan juga rakyat, SPRM dilihat menongkah usaha untuk membuktikan kepada masyarakat dalam negara ini bahawasanya mereka sebenarnya tidak sepatutnya diragui kemampuan dan keupayaan terutamanya melibatkan orang nombor 1 dalam negara ini iaitu Perdana Menteri Malaysia.

Pihak SPRM mengambil tindakan terbaik dengan menyiasat kes ini bagi mencari jawapan sebenar melibatkan intergriti Perdana Menteri Malaysia dan maruah negara yang sedang terpalit dengan isu 1MDB.

Isu ini sekali lagi seolah-olah mimpi ngeri kepada SPRM yang terpaksa berdepan dengan pihak tertinggi dalam negara. Sudah tentulah SPRM yang anggotanya dipilih dari kalangan mereka yang berintergiriti dan terbaik di antara pegawai-pegawai kerajaan dalam negara ini mesti membuktikan kemampuan mereka tanpa sedikitpun keraguan untuk bertindak sewajarnya menurut rangka undang-undang dalam negara ini.

Namun, usaha murni SPRM dalam menangani kes berprofil tinggi ini menampakkan ada cubaan untuk digagalkan. Penglibatan pihak PDRM melakukan siasatan terhadap para pegawai SPRM di tengah-tengah usaha penyiasatan ini sedikit membantutkan perjalanan proses penyiasatan SPRM dalam kes 1MDB dan akaun peribadi perdana menteri.

Walaupun pihak PDRM cuba menafikan campurtangannya dalam siasatan kes 1MDB oleh SPRM kononnya berkait soal pembocoran maklumat rahsia kerjaan, namun secara kewajarannya apakah keperluan siasatan dilakukan terhadap para pegawai SPRM yang masih rancak melakukan siasatan kes 1MDB ini.?

Seharusnya semua pihak wajib memberikan ruang dan peluang kepada pihak SPRM dan para pegawainya melakukan tugas tanpa rasa " fear and favour " serta mesti dilihat bebas tanpa sebarang gangguan dalam siasatan mereka. Lebih-lebih lagi siasatan PDRM terhadap pihak SPRM itu dibuat dalam kerancakan usaha SPRM menyelesaikan kemelut isu 1MDB  dan kaitannya dengan perdana menteri.

Laporan akhbar semalam memetik bahawa Tan Sri Johan Jaaffar selaku Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) memandang serius dan kecewa dengan tindakan yang diambil ke atas pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat dalam siasatan yang sedang dikendalikan oleh SPRM yang sepatutnya dapat menjalankan tugasnya sebagaimana termaktub dalam Akta SPRM 2009 sebagai sebuah badan yang bebas, telus dan profesional.

Respon dan tindakbalas daripada pihak SPRM terhadap usaha siasatan PDRM terhadap mereka menimbulkan satu polemik baru.

Apakah sekarang ini terdapat pertembungan bidangkuasa antara pihak SPRM dan PDRM?

Apakah juga sekarang terdapat wujudnya blok antara beberapa jabatan tertentu dalam kerajaan Malaysia?

Adakah mungkin ada pihak dalam kerajaan sendiri yang menyokong Tan Sri Muhyiddin?

Apakah sekarang ini sudah tidak ada lagi keserasian dalam tugasan antara pegawai dan jabatan dalam kerajaan?

Beberapa tindakan dan kenyataan pihak SPRM mungkin menjawab persoalan di atas. Antaranya kenyataan Pengarah Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bahri Mohamad Zin bahawa "...polis bertindak atas arahan ‘dalang-dalang’."

Begitu juga majlis solat hajat yang dianjurkan oleh Pihak SPRM baru-baru ini yang bertujuan untuk diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk membenteras rasuah dalam negara.

Oleh itu, PAS menyeru semua pihak agar memberikan peluang kepada SPRM untuk menyiasat dan bertindak mengikut lunas undang-undang dalam usaha membenteras rasuah yang meruncing dalam negara. Kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada tahun 2014 mencatatkan Malaysia di kedudukan 50 dalam dunia dan ini memalukan negara bahkan kemungkinan besar indeks bacaan ini akan menunjukkan negara semakin tercorot.

PAS juga melihat bahawa sudah tiba masanya SPRM mesti berani kerana benar dan proaktif dalam menjalankan tugas yang murni yang bertepatan dengan tugas seorang Muslim Mukmin iaitu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah mungkar.

Pastinya tugas ini adalah fardu kifayah dan tanggungjawab kiranya diabaikan maka negara dan rakyat dalam negara Malaysia yang tercint ini bakal mengundang kemurkaan Allah SWT. – HARAKAHDAILY 7/8/2015

Penulis ialah Setiausaha Dewan Ulamak Pas Selangor / AJK Lajnah Penerangan Pas Pusat

Share on Myspace