Pelajar kelolaan Ilmam S'gor ke Al-Azhar cemerlang

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Seramai 1,009 orang pelajar Malaysia telah menduduki Imtihan Qabul Universiti Al-Azhar, Kaherah bagi sesi kemasukan 2015/2016 yang merupakan ujian penilaian Bahasa Arab bagi menentukan tahap kelayakan setiap pelajar.

Hanya tiga orang paling cemerlang daripada jumlah itu berjaya menempatkan diri ke tahun satu pengajian di fakulti yang dipilih mereka dan selebihnya akan ditempatkan di Pusat Bahasa Universiti Al-Azhar dalam tempoh beberapa bulan mengikut tahap pencapaian masing-masing sebelum diambil belajar di tahun satu pengajian di universiti tersebut.

Nor Fasehah Najihah Saari dan Izzah Zamhari, pelajar Malaysia paling cemerlang dalam ujian tersebut merupakan pelajar di bawah Pertubuhan Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (Ilmam) Cawangan Selangor.

"Mereka telah mengharumkan nama Ilmam dan Malaysia serta telah membuktikan bahawa pelajar persendirian juga mampu untuk berjaya cemerlang," ujar Pengerusi Ilmam Selangor, Mohd Farhan Madzlan.

Katanya, kejayaan mereka juga diikuti rakan-rakan Ilmam Selangor yang lain apabila majoriti mereka hanya memerlukan beberapa bulan pengajian di Pusat Bahasa sebelum diserap masuk ke tahun pertama pengajian fakulti.

Menurutnya, perkra itu telah dimaklumkan melalui Pegawai Hal Ehwal Pelajar Selangor di Mesir, Ustaz Farid Zainal.

Sebelum itu, jelasnya Ilmam Selangor telah berjaya menguruskan seramai 120 orang pelajar ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar.

Tambahnya, penghantaran kali ini adalah penghantaran teramai dalam siri-siri pengurusan penghantaran pelajar dalam tahun-tahun lepas. - HARAKAHDAILY 7/8/2015

Share on Myspace