Kerajaan Malaysia cenderung tandatangani TPPA

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS melihat Kerajaan Malaysia cenderung untuk menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) tidak lama lagi meskipun dibantah pelbagai pihak.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, ini berdasarkan mesyuarat terakhir peringkat Menteri TPP yang berlangsung di Maui, Hawaii dari 28 hingga 31 Julai lalu,

Katanya, Malaysia dikatakan terpaksa membuat keputusan yang cepat untuk disesuaikan dengan perkembangan politik terkini Amerika Syarikat.

"Oleh itu, PAS berpandangan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan tetap meneruskan siri rundingan konklusi terakhir dengan hanya memperolehi mandat daripada kabinet," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, rakyat masih lagi tidak dimaklumkan dengan substantif perjanjian termasuk hasil analisis kos faedah daripada rundingan berkenaan.

Ini, ujar beliau akan menyukarkan rakyat terutamanya ahli-ahli Parlimen untuk berbahas dan membuat keputusan penting untuk masa dean negara.

PAS juga, katanya menuntut pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk bersifat telus dan menjelaskan respons-respons negara anggota terhadap kebimbangan rakyat terhadap isu-isu sensitif yang telah disuarakan oleh kerajaan dalam siri rundingan berkenaan.

Beliau menambah, isu-isu sensitif tersebut antaranya adalah mengenai perolehan kerajaan, survival perusahaan awam, pengusaha bumiputera serta industri kecil dan sederhana, perundangan dan harta intelek.

"Kita telah maklum, semua isu tersebut telah dibincangkan namun apakah hasilnya sehingga kerajaan masih mahu meneruskan rundingan ini," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Menurutnya lagi, melihat perkembangan terkini ekonomi negara seperti nilai ringgit merudum, harga pasaran minyak mentah dunia di bawah USD50 setong, kelembaban sektor eksport dan pertumbuhan yang kecil, Malaysia dilihat terpaksa menganggotai TPPA untuk mempromosi perdagangan negara.

Persoalannya, kata beliau apakah jaminan kerajaan bahawa keputusan yang akan dibuat nanti tidak akan memudaratkan dasar-dasar politik dan sektor teras ekonomi negara

"Maka, PAS tegas meminta kerajaan keluar daripada rundingan tersebut memandangkan kebimbangan utama rakyat terhadap isu-isu sensitif gagal dijelaskan dengan yakin dan telus kepada kami (rakyat)," ujarnya.

Tambahnya lagi, risiko itu terlalu tinggi memandangkan kerajaan hari ini turut berdepan dengan krisis keyakinan di peringkat nasional dan antarabangsa akibat daripada skandal kewangan 1MDB dan isu-isu yang berkaitan dengannya. - HARAKAHDAILY 7/8/2015

Share on Myspace