Laporan pakar bukti kesan bauksit bahaya

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

Rosli, Andansura, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh dan Adun Teruntum, Sim Chon Siang pada satu majlis dialog mengenai bauksit.

KUANTAN: PAS Pahang memandang serius laporan akhbar New Straits Times (NST) yang mendedahkan berlaku pencemaran radiasi ke atas sumber air berikutan aktiviti perlombongan bauksit tanpa kawalan.
 
Dalam kenyataan media yang ditandatangani oleh Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabbar dan timbalannya Andansura Rabu, memetik laporan muka depan akhbar NST yang bertajuk Radiation Poisoning.

Akbbar tersebut mendedahkan keputusan ujian makmal yang dibiayai oleh NST selepas berlaku fenomena air pasang merah (red tide) di Sungai dan Pantai Pengorak Kampung Selamat di sini, amat berbeda sekali dengan apa yang dianalisa oleh Jabatan Alam Sekitar (Jas).

Keputusan ujian makmal bebas ke atas sampel air dari muara sungai dicemari oleh logam berat dan juga pencemaran radiasi peringkat awalan.

Logam berat seperti thorium 230 dan 232 serta uranium 234 dan 238 dikesan dalam empat sampel yang diuji dari kawasan tersebut.Logam logam ini adalah jenis radioaktif yang boleh membahayakan kesihatan dan juga kehidupan laut.

Dalam artikel yang lain pula melarang penduduk supaya tidak memakan hasil laut dari kawasan yang tercemar itu berikutan tahap kimia arsenik yang tinggi.

“Ianya bercanggah sama sekali dengan kenyataan Exco Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Pahang Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak pada 26 Mei 2015 lalu bahawa kawasan tersebut bebas daripada pencemaran logam berat dan tidak merbahaya kepada manusia dan kehidupan lain,” kata Rosli.

Serentak dengan itu PAS Pahang melalui Lajnah Alam Sekitar menggesa Kerajaan Pahang bertindak segera atas laporan NST tersebut serta catatan pandangan pakar seperti yang dilaporkan diambil kira untuk tindakan selanjutnya.
 
“Ini termasuklah menghentikan serta merta aktiviti pelombongan tersebut,” kenyataan media tersebut dipetik.

Isu pelombongan bauksit di Bukit Goh dan kawasan sekitarnya menjadi panas dan menghantui penduduk ibu negeri ini sejak beberapa bulan kebelakangan termasuklah lori pengangkut yang kerap menyebabkan kemalangan hinggalah kesannya terhadap alam sekitar sehingga kesihatan penduduk terjejas. - HARAKAHDAILY 7/8/2015

Share on Myspace