PAS Selangor arahkan ahlinya solat hajat

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS Selangor mengarahkan ahli-ahlinya menunaikan solat hajat sama ada berjemaah atau bersendirian bagi mendoakan keselamatan rakyat dan negara.

Pesuruhjayanya Datuk Iskandar Abdul Samad dalam kenyataannya hari ini melahirkan rasa bimbang dengan perkembangan yang berlaku terhadap rakyat dan negara tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

"Sempena hari Jumaat yang mulia dan penuh barakah ini, saya mengarahkan ahli-ahli PAS Negeri Selangor menunaikan solat hajat.

"Perkembangan ini sudah tentu akan memberi kesan bukan sahaja kepada generasi hari ini tetapi generasi akan datang.

"Marilah kita berdoa agar rakyat dan negara ini sentiasa dilindungi dan dirahmati oleh Allah SWT. Agar kita sentiasa diberikan petunjuk dan panduan supaya sentiasa berada pada jalan yang diredhai olehNya," tegas beliau.

Justeru beliau yang juga Naib Presiden PAS meminta agar diberikan kekuatan dan ketabahan kepada mereka yang berusaha untuk menentang penyelewengan, salahguna kuasa dan kezaliman.

Negara yang kini sedang menghadapi pelbagai isu yang mengundang kebimbangan seluruh rakyat termasuklah isu 1MDB dan terkini adalah isu MH370. – HARAKAHDAILY 7/8/2015

Share on Myspace