Pindah pegawai SPRM langkah terdesak selamatkan PM

HARAKAHDAILY | .

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyifatkan langkah menukarkan Pengarah Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Bahri Mohamad Zin ke Jabatan Perdana Menteri serta merta hari ini merupakan satu langkah terdesak untuk menyelamatkan Perdana Menteri dari dakwaan salah laku.

Ini ekoran pegawai tersebut dilihat lantang menentang campurtangan pihak polis yang memberikan tekanan terhadap siasatan SPRM dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sekalipun diakui bahawa pertukaran pegawai boleh dilakukan bila-bila masa sahaja, namun pertukaran yang berlaku di akhir minggu pertama bulan seperti ini dan secara serta merta pula adalah merupakan satu perkara yang jarang berlaku di dalam amalan perkhidmatan awam. Tidak dapat dinafikan lagi, ia bakal menyuburkan persepsi bahawa ada 'sesuatu' sedang disembunyikan dari pengetahuan rakyat.

Ini ditambah pula dengan pertukaran Datuk Rohaizad Yaakob, pengarah komunikasi strategik SPRM juga serta merta ke Jabatan Perdana Menteri hari ini mengesahkan lagi dakwaan bahawa SPRM sedang cuba ditransformasi menjadi badan pak turut kepada kehendak pemerintah tertinggi negara. Datuk Rohaizad merupakan individu yang telah menerima kunjungan pimpinan pembangkang kelmarin di Putrajaya.

DPPM melahirkan kekesalan di atas pertukaran ini yang jelas merupakan permainan licik Umno Barisan Nasional untuk melindungi maklumat sebenar siasatan SPRM ke atas 1MDB. DPPM sentiasa bersama rakyat berdiri dan bersolidariti seiring dengan ketelusan dan kejujuran agensi-agensi kerajaan.

Dalam hal ini, DPPM menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada SPRM untuk terus menyiasat kes-kes berprofil tinggi dan melibatkan dana rakyat seperti yang dikaitkan dengan 1MDB.

DPPM mendesak agar kerajaan sama sekali tidak menggunakan kuasa eksekutif untuk campur tangan di dalam siasatan ini. Adalah tidak mustahil campur tangan dan tekanan yang berterusan ini akan menyebabkan kebangkitan rakyat secara besar-besaran menuntut keadilan seterusnya menunjukkan pintu keluar bagi Umno Barisan Nasional dari Putrajaya.

Sekian.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua PeneranganDewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)
Bertarikh: 7 Ogos 2015

Share on Myspace