Empat Adun PAS Perak terus beristiqamah

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

IPOH: Empat daripada lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS di Negeri Perak memberikan komitmen untuk terus beristiqamah di dalam parti itu.

Ustaz Abu Bakar Hussien (Titi Serong), Ustaz Mohd Zawawi Abu Hassan (Gunong Semanggol, Husin Din (Selinsing) dan Radzi Zainon (Sungai Rapat) hadir dalam pertemuan bersama pimpinan Badan Perhubungan PAS Perak semalam.

Sementara itu, Adun Changkat Jering, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin yang merupakan Mantan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak tidak kelihatan walaupun turut dijemput.

Pertemuan yang diadakan di Pejabat Badan Perhubungan PAS Perak, dekat Ipoh itu telah dihadiri oleh Pesuruhjaya, Razman Zakaria dan timbalannya, Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki.

Tujuannya antara lain membincangkan tentang pendirian masing-masing tentang penubuhan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang kini sedang rancak digerakkan ke arah penubuhan parti politik baharu.

Bercakap kepada Harakah, Razman Zakaria berkata, PAS Perak mengambil serius tentang perkembangan Adun-Adun daripada pelbagai aspek termasuklah pendirian mereka terhadap isu-isu semasa disamping prestasi masing-masing.

Menurutnya, suasana parti Islam itu ketika ini menuntut kepada penjelasan dan pendirian Adun sama ada kekal bersama PAS atau menyokong GHB.

"Alhamdulillah, empat orang Adun PAS hari ini hadir dan menyatakan komitmen mereka untuk istiqamah di dalam perjuangan.

"Namun seorang Adun (Mohammad Nizar) tidak hadir dan dimaklumkan beliau telah bertekad untuk bersama Gerakan Harapan Baru," katanya.

Ketika ditanya tentang kedudukan Mohammad Nizar, beliau menghormati pendirian tokoh tersebut walaupun ia adalah satu keputusan sangat mengecewakan.

Namun begitu, Razman mengharapkan beliau membuat keputusan berdasarkan rasional, bukan kerana emosi semata-mata yang akhirnya memberi keuntungan kepada Umno-BN.

Jelas beliau, turut mengikut jejak langkah Mantan Menteri Besar Perak itu adalah Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang kini memegang jawatan sebagai Pengerusi GHB Negeri Pulau Pinang.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berpesan kepada seluruh Adun dan Ahli Parlimen agar terus memberikan komitmen terbaik kepada masyarakat di kawasan masing-masing. – HARAKAHDAILY 8/8/2015

Share on Myspace