Tragedi ekonomi: PAS cadang anjur Kongres Rakyat 5 Sept

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS bercadang mengadakan Kongres Rakyat ini pada 5 September depan di ibukota.

Ini susulan mesyuarat PAS Pusat hari ini di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) Taman Melewar telah menegaskan bahawa tetap istiqamah menuntut pemulihan demokrasi, sistem pilihan raya yang adil serta menentang sehebat-hebatnya korupsi yang dilakukan sama ada oleh individu pemimpin mahupun dalam pemerintahan dan pentadbiran negara.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, tragedi ekonomi dan politik negara, melibatkan isu hutang 1MDB yang menjengah RM42 bilion, transaksi wang sejumlah RM2.6 bilion ke akaun peribadi Perdana Menteri dan campur tangan politik serta  tekanan kepada badan yang bertanggungjawab dalam penyiasatan 1MDB seperti SPRM, PAC dan lainnya dilihat semakin parah.

"Insya Allah, PAS akan turut menggerakkan kebangkitan rakyat dan memimpin tindakan agar ia bergerak lancar dan terancang ke arah menuntut satu perubahan total pada sistem pentadbiran dan pemerintahan negara," ujarnya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, jelasnya Kongres Rakyat yang akan diadakan dengan mengumpul semua pihak individu, NGO, parti politik dan seluruh warga prihatin termasuk pihak mahasiswa dan aktivis sosial ke arah menghasilkan resolusi dan pelan tindakan rakyat ke arah satu gerakan kebangkitan yang berkesan, membina negara yang lebih selamat dan sejahtera dari segala macam rupa korupsi dan wajah penyelewengan kuasa.

Katanya, maklumat lanjut secara detail akan diumumkan sedikit masa lagi.

"Nantikan kehadirannya insya Allah demi sebuah perubahan ke arah negara yang sejahtera dan selamat dari penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa serta kemungkaran politik dan ekonomi," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Menurut beliau lagi, kongres itu akan menjadi medan untuk mencari dan merumus mekanisme terbaik serta berkesan mewakili semua pihak dan peringkat pandangan rakyat yang akan dicanai cerna melalui peserta-peserta kongres rakyat kelak.

"Kita mensasarkan penyertaan sekurang-kurangnya 50 NGO tidak termasuk pihak-pihak lain seperti tokoh-tokoh individu dan parti politik yang turut akan diundang untuk menjayakan Kongres Rakyat ini," katanya. - HARAKAHDAILY 8/8/2015

Share on Myspace