Tubuh segera Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS menggesa kerajaan supaya menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperkasakan serta memelihara integritinya sebagai sebuah badan bebas yang bertanggungjawab terhadap segala gejala rasuah dalam negara ini.

PAS menyatakan komitmen untuk menyokong penuh apabila kerajaan membawa pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan bagi menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM ini.

Menurut Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan perkara ini telah lama dinyatakan oleh PAS melalui penegasan Presiden PAS yang akan mengarahkan semua Ahli Parlimen parti itu menyokong pindaan ini apabila dibawa ke Parlimen nanti.

PAS juga, katanya menyokong cadangan ini melalui wakil PAS dalam Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR).

"PAS berpandangan suruhanjaya ini wajar disegerakan kerana melalui penubuhan suruhanjaya perkhidmatan yang khusus ini, SPRM boleh melantik pegawai-pegawai mengikut kepakaran yang diperlukan, umpamanya dari graduan lulusan kimia, ICT, forensik dan pelbagai bidang kepakaran dalam usaha memerangi jenayah rasuah.

"SPRM memerlukan tenaga kerja profesional dan berkepakaran tinggi dalam pelbagai bidang bagi menangani pola jenayah rasuah yang semakin rumit dan merentasi sempadan antarabangsa," ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, penubuhan suruhanjaya ini juga akan memberi lebih kuasa kepada SPRM untuk menguruskan peranan dan tanggungjawab mereka tanpa campur tangan mana-mana pihak dan ini akan menjadikan SPRM benar-benar bebas dan telus, sekali gus menangkis persepsi rakyat terhadap SPRM sendiri.

Beliau berkata, secara umumnya apabila suruhanjaya ini diwujudkan nanti ia akan bertanggungjawab bagi mengurusan pelantikan, pengesahan, kenaikan pangkat dan penamatan perkhidmatan pegawai SPRM, termasuklah mengambil tindakan terhadap para pegawainya yang tidak jujur dan tidak berintegriti melalui suatu tribunal khas.

Penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM juga bukanlah suatu perkara asing kerana di negara ini selain daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), telah wujud pelbagai suruhanjaya perkhidmatan khusus umpamanya Majlis Angkatan Tentera (Perkara 137, Perlembagaan Persekutuan), Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (Perkara 138, Perlembagaan Persekutuan), Suruhanjaya Pasukan Polis (Perkara 140, Perlembagaan Persekutuan) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (Perkara 141A, Perlembagaan Persekutuan).

Di peringkat negeri-negeri di Malaysia juga wujudnya Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri umpamanya di Kelantan, Kedah, Terengganu dan Johor.

Justeru katanya, cadangan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM pula tidak seharusnya menimbulkan kebimbangan mana-mana pihak kerana selain daripada terikat dengan segala peruntukan perundangan, SPRM sendiri dipantau oleh lima badan bebas, malah merupakan satu-satunya suruhanjaya atau agensi di Malaysia yang dipantau oleh badan bebas, dengan keanggotaan lebih dari 40 orang.

Selari dengan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM juga, PAS turut menggesa supaya pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan wajar dinaikkan tarafnya setanding dengan jawatan-jawatan penting negara seperti Peguam Negara dan Ketua Audit Negara.

"Ini adalah penting bagi menjamin ketelusan dan kebebasan SPRM dan fungsi-fungsinya. Dengan kaedah perlantikan sebegini diharapkan peranan  Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak dipengaruhi atau ‘tidak kelihatan dipengaruhi’ oleh mana-mana parti politik yang memegang tampuk pemerintahan negara," katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu. - HARAKAHDAILY 9/8/2015

Share on Myspace