Apakah Najib ada masa tadbir negara, selamatkan Ringgit?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini kelihatan sibuk menyelamatkan diri di dalam Umno di atas isu derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun beliau, yang seolah-olah tidak diketahui sesiapa melainkan beliau.

Beliau bukan saja terpaksa menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal dan Khairy Jamaluddin, malah beliau disibukkan dengan tuduhan mengganggu siasatan terhadap 1MDB hasil daripada penangguhan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara serta tindakan polis terhadap beberapa pegawai SPRM.

"Persoalan kini timbul apakah Najib masih mempunyai masa untuk mentadbir negara, mengembalikan keyakinan pelabur dan paling penting menyelamatkan nilai Ringgit?" tanya Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau juga bertanya siapakah yang sedang mentadbir negara sekarang kerana ahli-ahli kabinet yang lain selain Khairy, termasuk Timbalan Perdana Menteri yang baru sibuk terlibat dalam kerja mempertahankan Najib dalam keadaan Ringgit terus jatuh.

Tambahnya, tindakan Najib mengumumkan bagi pihak SPRM bahawa SPRM telah membersihkan beliau daripada tuduhan rasuah bukanlah cara untuk memperbaiki keyakinan rakyat dan pelabur terhadap integriti beliau sebagai seorang yang amanah dan bertanggungjawab.

"Saya mengulangi pandangan saya sebelum ini adalah lebih elok Najib bercuti dan pergi menunaikan umrah.

"Berilah ruang nafas seketika kepada semua orang untuk menumpukan kembali kepada tugas masing-masing tanpa gangguan yang tidak perlu," ujarnya dalam satu kenyataan.

Malah, ujar beliau tindakan itu dapat membantu siasatan terhadap 1MDB diselesaikan, dan nama Najib boleh dibersihkan dengan lebih cepat memandangkan beliau yakin beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Katanya lagi, kepada pasukan Tun Abdullah Badawi dalam berada di dalam kabinet Najib, jangan biar Ringgit jatuh ke tahap RM4 bersamaan USD1 sebelum bertindak seperti Khairy.

"Saya memohon Tun Abdullah dan kabinet baru mengutamakan rakyat dan negara," ujar beliau lagi. - HARAKAHDAILY 10/8/2015

Share on Myspace