Presiden PAS terima borang 700 ahli baharu di Perak

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

IPOH: Pada saat berhadapan gelombang cabaran apabila segelintir pimpinannya sedang giat melancarkan gerakan ke arah penubuhan parti baharu, PAS tidak tergugat apabila terus menerima kemasukan ahli baru.

Pada Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan (Pihak 5.0) Peringkat Negeri Perak yang diadakan di Jalan Pemimpin, Manjoi, semalam Pesuruhjaya PAS negeri Razman Zakaria telah menyerahkan borang permohonan keahlian seramai 700 orang kepada Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Kira-kira 5,000 orang hadiri daripada pelbagai lapisan yang hadir daripada seluruh negeri melaungkan 'Allahu Akhbar' ketika serahan tersebut dijalankan menggambarkan satu isyarat positif kepada parti Islam itu.

Dalam majlis itu juga, Ustaz Hadi telah menyerahkan bendera PAS kepada 20 Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) kawasan-kawasan sebagai watikah pelantikan untuk menggerakkan kembali sayap bongsu parti itu.

Tuan Guru kelihatan sangat gembira melihat kepada komitmen serta semangat orang bukan Islam kepada PAS melalui penglibatan mereka di dalam DHPP khusnya di negeri itu.

Pengerusi DHPP Negeri Perak yang baru dilantik, S Surianarayanan menegaskan, DHPP akan terus beristiqamah hingga kemenangan bersama PAS dan tidak akan sesekali berganjak daripada perjuangan.

Beliau katanya telah berjaya membentuk kembali jawatankuasa di peringkat negeri dan pengerusi di peringkat kawasan-kawasan untuk meneruskan gerak kerja menarik sokongan orang bukan Islam kepada PAS.

"Ahli DHPP di semua peringkat di negeri Perak tidak mengikut jejak langkah beberapa pimpinan sebelum ini yang meletakkan jawatan dan menyokong GHB.

"Kami akan terus kekal bersama PAS, saya nasihatkan kepada pimpinan PAS yang berhasrat keluar parti supaya mengikut jejak langkah DHPP untuk terus beristiqamah hingga kemenangan," jelas beliau. - HARAKAHDAILY 10/8/2015

Share on Myspace