PM berhenti, pecat TPM tidak selesai masalah

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

IPOH: Islam telah menegaskan amanah yang paling terpenting adalah amanah politik.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, malangnya masayarakat Islam ketika ini khususnya orang melayu melihat sifat amanah hanya berkisarkan kepada perkara-perkara tertentu.

Sedangkan kata beliau, amanah paling besar adalah amanah dalam memerintah negara dan ia melebihi segala-galanya.

"Malangnya orang Melayu hanya melihat amanah itu berkaitan simpan duit dan kirim barang sahaja.

"Amanah yang disebut dalam Al-Quran dan Hadis adalah amanah memerintah negara, ia adalah amanah paling besar," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di dalam Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan 5.0 di Jalan Pemimpin, Manjoi, Ipoh dekat sini semalam.

Hadir sama ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Nasaruddin Daud, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria serta seluruh Ahli Jawatankuasa PAS Negeri.

Ahli Parlimen Marang itu menyatakan, Malaysia sedang mengalami pelbagai masalah bukan hanya jenayah, salah laku, keruntuhan akhlak yang menimpa rakyat tetapi yang lebih besar adalah masalah pemimpin yang tidak amanah apabila dipalit dengan pelbagai skandal.

Jelas beliau, pelbagai skandal telah berlaku di dalam negara dan terbaru adalah isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan sejumlah besar wang rakyat.

"Banyak skandal yang sudah kita lupa, ketika ini 1MDB, dahulunya skandal KWSP, Tabung Haji, Perwaja dan sebagainya yang hampir kita lupa. Semuanya mencapai angka billion.

"Perdana Menteri berhenti, pecat Timbalan Perdana Menteri tidak selesai juga masalah. Di mana silapnya? Pimpinan tidak tunai amanah dengan betul, fahamilah amanah ini," tegasnya.

Jelas beliau, budaya pecat pemimpin tidak akan menyelesaikan masalah kerana permasalahan sebenar adalah amanah di dalam diri pemimpin negara.

Beliau menegaskan bahawa semua kerajaan di seluruh dunia termasuklah di dalam negara ini tidak akan kekal selama-lamanya dan apabila sampai masanya mereka akan tumbang.

"Barisan Nasional tidak akan kekal dan semua kerajaan tidak akan kekal. Kerajaan di Indonesia, Jepun, India dan Amerika sendiri kuasa pemerintahan silih berganti.

"Kita mahukan satu perubahan ke arah kerajaan yang menunai amanah dan baik iaitu perubahan dengan Islam," jelasnya lagi. - HARAKAHDAILY 10/8/2015

Share on Myspace