Selangor sasar bina lebih banyak maahad tahfiz sains

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Selangor menyasarkan lebih banyak pembinaan Maahad Integrasi Tahfiz Sains pada setiap tahun di sembilan daerah di negeri itu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, ia bagi menampung permintaan tinggi dalam kalangan ibu bapa dan pelajar terhadap pendidikan agama.

Katanya, maahad tahfiz sedia ada hanya mampu menampung kemasukan 180 pelajar setiap tahun.

“Permintaan daripada ibu bapa (untuk kemasukan anak-anak) cukup tinggi sehingga tahun lepas sahaja 400 permohonan diterima untuk kemasukan ke maahad tahfiz.

“Bagaimanapun kita memilih pelajar yang bukan hanya cemerlang daripada sudut akademik, tetapi memiliki kekuatan dalam kafahaman al-Quran,” katanya dipetik Selangor Kini.

Pada masa sama, Ahmad Yunus berkata beberapa buah maahad tahfiz yang kini dalam perancangan dijangka akan siap menjelang tahun ini dan tahun hadapan.

Adun Sijangkang itu merujuk kepada Maahad Integrasi Tahfiz Sains di Bagan Lalang, Sepang dan binaan baru Maahad Integrasi Tahfiz Sains di Pandan, Ampang.

“Sebenarnya kita ada beberapa tapak untuk pembinaan sekolah ini yang dijangka setiap daerah akan ada satu maahad tahfiz,” katanya.

Beliau berkata kekangan yang dihadapi kini adalah berkaitan pengambilan guru akademik terutama dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Bagaimanapun, katanya Kerajaan Selangor akan cuba mengatasi masalah itu melalui beberapa pendekatan dan kerjasama daripada pihak berkaitan.

“Kita akan minta kerjasama daripada pihak kementerian untuk bantu mendapatkan lebih ramai guru yang memiliki kemahiran pengajaran dalam subjek lebih tinggi untuk pelajar Tingkatan 4 dan 5,” katanya.

Share on Myspace