Pertukaran dua pegawai SPRM ke JPM dibatalkan

BERNAMA | .

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa membatalkan pertukaran dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).
    
Ali mengumumkan dalam kenyataan hari ini bahawa dua pegawai itu - Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Datuk Rohaizad Yaakob - kembali ke jawatan asal masing-masing di SPRM berkuat kuasa hari ini.
    
Ali berkata beliau dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal telah berjumpa dengan dua pegawai SPRM yang terlibat dalam perpindahan itu.
    
Katanya kedua-dua pegawai tersebut telah memberikan penjelasan mengenai tindakan mereka mengeluarkan kenyataan media.
    
"Susulan dengan penjelasan tersebut, saya telah membuat keputusan membatalkan pertukaran kedua-dua pegawai ke JPM dan kembali ke jawatan asal masing-masing di SPRM berkuat kuasa hari ini," katanya.
    
Jumaat lepas, kedua-dua pegawai itu dilaporkan ditukarkan ke JPM  dan diarah melaporkan diri pada hari ini. - Bernama

Share on Myspace