PRN: Pemuda PAS Sarawak fokus beban anak muda

IZWAN ABDUL HALIM | .

KUCHING: Isu-isu kebajikan khususnya bebanan anak muda menjadi tawaran utama Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak kepada anak muda negeri itu pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Malah, Pemuda PAS Sarawak juga komited untuk memperjuangkan hak-hak rakyat Sarawak bagi mendapat kemudahan asas seperti bekalan air bersih dan elektrik terutama di kawasan-kawasan luar bandar.

Menurut Ketua Pemuda PAS negeri, Mohammad Arifiriazul Paijo, berdasarkan tinjauan dan maklumat penggerak Pemuda PAS di seluruh Sarawak, kemudahan asas menjadi satu masalah umum dan perlu diberi perhatian khusus.

“Ada beberapa kawasan di Sarawak seperti di Tukau, Miri, penduduk masih perlu menadah air hujan sebagai sumber air mereka. Ini mengecewakan dan perlu diberi fokus khusus oleh kami,” katanya pada Himpunan Jentera Pemuda PAS Sarawak di sebuah hotel, di sini kelmarin.

Ujarnya, selain daripada kebajikan dan kemudahan asas rakyat, beban anak muda terutama pasca-GST dan penurunan nilai ringgit akan diberi perhatian oleh pihaknya di mana jelas anak-anak muda semakin tersepit dengan peningkatan harga barangan terutama harga rumah.

Terang beliau, tidak ramai anak muda mampu memiliki rumah sendiri, ditambah pula dengan GST dan kadar inflasi yang semakin meningkat, golongan itu semakin tertekan dan memerlukan dasar baru ke arah menyelesaikan kemelut tersebut.

Pemuda PAS Sarawak terangnya, telah membentuk satu jawatankuasa khas bagi mengkaji dan menyediakan tawaran anak muda sempena PRN akan datang.

“Tawaran Pemuda PAS Sarawak ini akan dilancarkan tidak lama lagi.  Jawatankuasa ini juga akan melancarkan projek-projek rakyat melalui program 'UntukMu Sarawak' bagi membantu meringankan beban rakyat.

“Beberapa projek telah dikenalpasti seperti Projek Tube Well dan Projek Solar di beberapa kawasan di Sarawak sebagai satu bentuk usaha oleh Pemuda PAS Sarawak untuk bersama-sama rakyat membaiki kualiti hidup mereka," katanya.

Sementara itu, Exco Pemuda PAS Malaysia, Hadi Amat yang merupakan anak jati Sarawak berkata, strategi Adun-adun BN yang hanya melawat Dun diwakili mereka ketika hampir musim pilihan raya amat mengecewakan dan menghampakan rakyat.

Menurutnya, strategi memancing undi di saat-saat akhir pilihan raya menyebabkan kemajuan di negeri ini terbantut dan hanya berlaku di musim pilihan raya, menyebabkan projek-projek kemajuan seperti jalan raya dan air hanya berlaku 5 tahun sekali.

“Adun-adun hanya datang di saat akhir, jalan raya diturap 5 tahun sekali. Sebagai anak Sarawak yang bekerja di Kuala Lumpur, setiap kali pulang ke kampung, kemajuan kampung saya dapati tidak banyak berubah,” luahnya kesal.

Pemuda PAS katanya, telah digerakkan untuk bersama rakyat dan membela nasib rakyat Sarawak, bukan hanya ketika musim pilihan raya, malah sepanjang masa.

Program-program kebajikan ujarnya seperti projek “UntukMu Sarawak” akan diperluaskan bagi membantu dan mendekatkan PAS dengan rakyat. - HARAKAHDAILY 10/8/2015

Share on Myspace