Morsi dedah cubaan meracun beliau di penjara

HARAKAHDAILY | .

BEKAS Presiden Mesir, Mohamed Morsi yang telah digulingkan dan dipenjarakan, membayangkan pada Sabtu lepas, bahawa beliau menjadi mangsa kepada satu percubaan meracun oleh pegawai-pegawai penjara.

Morsi yang dipilih secara demokratik pada pertengahan 2012 dan digulingkan oleh tentera satu tahun kemudian memberitahu, beliau "tidak mahu makan makanan (disediakan oleh pegawai penjara), kerana jika saya memakannya, jenayah mungkin berlaku".

Morsi seterusnya memaklumkan bahawa terbaru, kira-kira ada lima "kejadian" yang dialami beliau di dalam penjara, akan memungkinkan “berlakunya jenayah”, sekiranya ianya berlaku seperti yang dirancang pegawai penjara, lapor Middle East Monitor.

Beliau walau bagaimanapun tidak mengulas lanjut kenyataan tersebut.

Bulan lalu, Morsi dijatuhi hukuman mati untuk kesalahan "pengintipan" dan melarikan diri dari penjara pada 2011, yang membawa kepada pemberontakan terhadap bekas Presiden Hosni Mubarak yang berkuasa selama 30 tahun.

Morsi yang juga antara anggota utama kumpulan Ikhwan Muslimin yang diharamkan di Mesir, telah digulingkan dan dipenjarakan oleh tentera Mesir pada pertengahan 2013. Beliau juga berhadapan dengan beberapa tuduhan jenayah lain, di mana para pengikutnya mendakwa ianya adalah bermotifkan politik semata. - HARAKAHDAILY 10/8/2015

Share on Myspace