RM10 juta boleh menang pilihan raya - Mahathir

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini kembali menyerang pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menerusi blognya menyatakan wang RM2.6 bilion yang kononnya sebagai dana pilihan raya adalah tidak masuk akal.

Ini kerana katanya yang hanya memerlukan kurang RM10 juta bagi memenangi setiap pilihan raya umum sewaktu pemerintahannya.

"Saya perlukan kurang RM10 juta dan saya memenangi semua dengan lebih dari 2/3 majoriti. Mengapa anda perlu 2.6 bilion?

"Adakah ia untuk merasuah ahli-ahli politik dan kakitangan awam atau menipu pilihan raya. Itu tidak betul di sisi undang-undang," soalnya lagi.

Mahathir turut menolak wang RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Najib adalah wang derma.

"Siapa yang di dunia akan mendermakan USD700 juta kepada Perdana Menteri Malaysia? Sedangkan Obama tidak dapat mengumpul jumlah ini ketika mengintai jawatan presiden.

"Dicadangkan itu adalah seorang Arab. Tetapi Arab tidaklah semurah itu. Saya tidak dapat sesen pun dari mereka untuk menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia atau Pusat Islam Oxford.

"Sudah tentu saya tidak percaya malah majoriti rakyat Malaysia pun tidak percaya jika dilihat komen-komen mereka di media sosial. Dunia sedang tertawakan kita," tegas beliau. - HARAKAHDAILY 10/8/2015

Share on Myspace