Presiden PAS temui pimpinan Solidariti Hak Rohingya

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pertemuan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama wakil pimpinan Pertubuhan Solidariti Hak Rohingya, Saifullah telah diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Turut hadir dalam pertemuan ialah Mohd Faiz Mohd Nawi, Setiausaha Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS.

Pertubuhan Solidariti Hak Rohingya atau Rohingya Solidarity Organization for Rights (RSOR) adalah salah satu pertubuhan berdaftar yang memperjuangkan nasib rakyat Rohingya dan mempunyai rangkaian di seluruh dunia.  

Antara usaha yang dilakukan oleh RSOR adalah berjumpa dengan ahli parlimen negara umat Islam bagi mendapatkan bantuan, keprihatinan dan memberikan tekanan terhadap kerajaan Myanmar.

Pertemuan empat mata ini adalah usaha untuk mengukuhkan kebersamaan dalam memperjuangkan isu hak kemanusiaan rakyat Rohingya di Myanmar.

Presiden PAS telah memaklumkan bahawa PAS melalui Yayasan Amal Malaysia telah menghantar delegasi ke Acheh untuk berbincang dan bekerjasama bagi menyelesaikan isu Rohingya.

Dalam pertemuan itu juga, pimpinan RSOR berkongsi situasi terkini yang berlaku di Arakan.

Kerajaan Myanmar memberi dua pilihan kepada rakyat Rohingya, samada mahu hidup dan mati atau meninggalkan negara tersebut.

Rakyat Rohingya juga tidak diiktiraf dan dinafikan hak sebagai warganegara Myanmar sedangkan mereka penduduk asal negara itu.

Mereka tidak dibenarkan untuk mengundi dalam pilihan raya umum yang akan berlangsung pada November akan datang.

Selain itu, RSOR turut memohon bantuan untuk membiayai kos sara hidup anak yatim di sempadan Myanmar dengan anggaran RM75,000 setiap bulan.

Mereka juga menagih simpati dan mengalu-alukan rakyat Malaysia untuk mengadakan ibadat qurban di sana.

Pimpinan RSOR juga mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Presiden PAS yang membantu pelarian Rohingya yang berada di Malaysia dan mengambil langkah proaktif untuk membantu rakyat Rohingya di sana.

Mereka mengharapkan rakyat Malaysia berusaha untuk memberikan pendidikan kepada pelarian yang berada di negara ini.

Presiden PAS telah meraikan masyarakat Rohingya dalam Majlis Hari Raya Aidilfitri di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila minggu lepas.

Hampir 300 orang telah mendapat sumbangan dan bantuan bagi meringankan bebanan mereka. - HARAKAHDAILY 10/8/2015

Share on Myspace