262 rumah mangsa banjir siap dibina di Kelantan

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Sehingga akhir Julai lepas sebanyak 262 rumah kekal mangsa banjir siap dibina di Kelantan, di mana sebanyak 75 daripadanya dibina kerajaan negeri.

Dan 50 lagi dibina kerajaan pusat, manakala 137 rumah disiapkan badan bukan kerajaan (NGO).

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata selain itu 538 rumah lagi sedang dalam pembinaan dan 804 rumah di peringkat prapembinaan.

“Ini bermakna 1,604 rumah sudah dibina dan prapembinaan untuk mangsa banjir. Bagaimanapun seramai 223 lagi mangsa banjir di peringkat mengenal pasti tapak.

“Jumlah keseluruhan mangsa banjir yang kehilangan sepenuhnya rumah mereka akhir tahun lepas sebanyak 1,827,” katanya di sini.

Bagaimanapun bancian fasa kedua mendapati seramai 879 lagi mangsa banjir turut kehilangan rumah mereka dan fasa ketiga pula 99 mangsa.

Jumlah keseluruhan mangsa banjir yang kehilangan rumah akibat bah besar akhir tahun lepas 2,805 keluarga.

Abdul Fattah yang  juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan berkata, kerajaan negeri sedang menyiapkan booklet bagi menjelaskan perkembangan mengenai isu berkaitan banjir.

Katanya, buku itu akan menyentuh kesan dan apa yang berlaku selepas banjir. Selain itu apa-apa langkah yang diambil untuk memastikan isu-isu banjir dapat diselesaikan.

“Ada isu yang dikeluarkan media baru mendakwa kerajaan tidak agresif membantu mangsa banjir.

“Tetapi kita bagi pihak kerajaan negeri telah membuat suatu yang sangat agresif kerana kita meletak matlamatnya. Usaha ke arah itu boleh dikatakan berjalan lancar,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 10/8/2015

Share on Myspace